Terletak kira-kira 90 kilometer dari Kuala Lumpur, Port Dickson atau lebih mesra dikenali sebagai PD, kekal menjadi antara destinasi percutian hujung minggu paling popular di Semenanjung Malaysia.
Bandar pesisir pantai yang terletak di daerah Negeri Sembilan ini menawarkan gabungan keindahan pantai, sejarah kolonial dan aktiviti santai yang sesuai untuk seisi keluarga.
Pantai menjadi tarikan utama di Port Dickson. Antara yang paling terkenal ialah Pantai Teluk Kemang yang sering menjadi tumpuan pelancong kerana kemudahan awam yang lengkap serta pelbagai aktiviti air seperti banana boat, jetski dan parasailing.
Menurut penduduk tempatan, Azhar Muhammad, 38, Port Dickson merupakan sebuah bandar yang tenang, namun masih dipenuhi pengunjung khususnya semasa hujung minggu.
“Ini kerana lokasinya yang tidak begitu jauh dari Kuala Lumpur menjadikan lokasi pilihan buat pengunjung dari ibu kota untuk bersantai di kawasan pantai tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.
“Pilihan hotel juga banyak dan sesuai untuk mereka yang bercuti secara solo mahu pun membawa seisi keluarga,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Antara tarikan yang sudah lama diminati pengunjung adalah PD Ostrich Show Farm yang terletak di Batu 9.
“Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa bukan cuma burung unta yang menjadi tarikan di sana, bahkan juga turut menempatkan haiwan lain seperti kuda, arnab, ayam dan juga lembu.
“Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti berlumba bersama burung unta di situ yang bagi saya menarik dan mungkin tiada di tempat lain,” ujarnya.
Bagi mereka yang gemar suasana lebih tenang, Pantai Blue Lagoon menawarkan pemandangan laut Selat Melaka yang indah dengan airnya yang sangat jernih, sesuai untuk berkelah atau bersiar-siar ketika matahari terbenam.
Selain keindahan pantai, Port Dickson turut mempunyai beberapa lokasi bersejarah dan menarik untuk dikunjungi.

Antaranya, Kota Lukut yang dibina pada abad ke-19, menyimpan kisah penting tentang sejarah perlombongan bijih timah di kawasan tersebut.
Di situ, pengunjung boleh menelusuri Muzium Lukut untuk memahami bagaimana Port Dickson berkembang dari sebuah penempatan kecil menjadi bandar pelancongan pesisir yang pesat.
Bagi pencinta alam semula jadi pula, Taman Rekreasi Hutan Simpan Bukit Batu Putih dan PD Forest menawarkan laluan mendaki dengan pemandangan laut yang memukau dari puncak.
Tidak ketinggalan, Cape Rachado (Tanjung Tuan) iaitu merupakan kawasan rizab hutan yang menjadi habitat burung migrasi. Ia menempatkan Rumah Api Tanjung Tuan, antara rumah api tertua di Malaysia yang masih berfungsi.
Port Dickson juga dikenali dengan pilihan penginapan menarik termasuk resort tepi laut dan hotel berkonsep vila atas air seperti Lexis Hibiscus dan Avillion Port Dickson yang menambah daya tarikan bandar ini sebagai destinasi percutian mewah mahupun mesra poket.
“Lexis Hibiscus merupakan penginapan yang sentiasa dikunjungi orang luar yang mahu merasai pengalaman menginap di vila atas air.
“Biarpun lokasinya terletak agak jauh dari pekan Port Dickson, namun kedudukan yang agak terpencil itu menjadikan ia lokasi terbaik buat mereka yang mahu benar-benar berehat dan menenangkan diri,” ujar Azhar.
Buat yang mahu menghirup kopi sambil melihat pemandangan matahari terbenam, mereka boleh berkunjung ke restoran Kopi dan Kueh by The Beach, tarikan baharu yang cukup diminati orang ramai.
Dengan akses mudah melalui lebuh raya Seremban-Port Dickson, bandar pesisir itu terus menjadi pilihan untuk mereka yang ingin berehat seketika dari kesibukan kota, menikmati angin laut dan panorama yang mendamaikan serta menjamah hidangan enak.














