Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan taburan hujan di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia semasa Monsun Timur Laut (MTL) pada kali ini dijangka tidak melebihi paras purata.
Malah berdasarkan pemerhatian dan analisis semasa jabatan itu, La Nina juga berlaku dalam keadaan lemah, namun akan berterusan sekurang-kurang sehingga Februari tahun depan.
Menurut jabatan itu, permulaan MTL telah bermula pada pertengahan November dan semasa musim MTL kali ini lima hingga tujuh episod hujan lebat diramalkan berlaku.
Episod hujan lebat dijangka bermula di Kelantan dan Terengganu seawal November 2025 dan berkemungkinan berterusan pada Disember 2025 hingga Januari 2026.
Keadaan yang sama turut berpotensi berlaku di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Pada Februari 2026, Johor dan Sarawak masih berisiko menerima episod hujan lebat, manakala Sabah dijangka terus mengalami episod hujan lebat tersebut sehingga Mac 2026.
Bagi mengupas lebih lanjut berkenaan MTL dan persediaaan yang telah dilakukan jabatan itu, wartawan Kosmo! Ahad, AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI berkesempatan menemu bual Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Boleh kongsikan MTL tahun ini bermula bila dan bila dijangka berakhir?
MOHD. HISHAM: MTL 2025/2026 telah bermula pada 13 November lalu dan dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2026.
Negeri mana dijangka terjejas teruk pada MTL tahun ini? Adakah di kawasan Pantai Timur terutama Kelantan yang sudah lebih 10 tahun tidak bah besar?
Kawasan yang lazim terdedah kepada episod hujan lebat MTL terletak di negeri-negeri timur Semenanjung meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor di Semenanjung, manakala bagi Malaysia Timur melibatkan selatan dan barat Sarawak serta utara dan timur Sabah.
Sekiranya angin luruan monsun adalah kuat, maka episod hujan lebat boleh merebak sehingga ke negeri-negeri di sebelah barat Semenanjung termasuk di kawasan Lembah Klang.
Berdasarkan maklumat terkini, hanya negeri Sabah dijangka menerima taburan hujan lebih banyak berbanding purata, manakala di kawasan-kawasan lain dijangka menerima hujan pada paras purata.
Perincian ramalan hujan bulanan untuk semua negeri boleh dirujuk di laman sesawang https://www.met.gov.my/data/climate/tinjauancuacajangkapanjang.pdf
Dijangka berapa episod hujan lebat berlaku sepanjang MTL 2025/2026 ini dan dijangka bila paling ekstrem?
MetMalaysia menjangkakan lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan yang dibawa oleh angin luruan monsun sepanjang MTL kali ini.
Berdasarkan maklumat terkini, tiada jangkaan episod hujan ekstrem berlaku bagi tempoh seminggu ke hadapan.

Adakah MTL tahun ini akan bertembung dengan cuaca luar biasa lain seperti taufan atau sebagainya?
Tiada jangkaan berlaku cuaca luar biasa bagi tempoh seminggu ke hadapan.
Bagaimana pihak MetMalaysia melakukan persediaan untuk menghadapi MTL kali ini?
MetMalaysia adalah antara beberapa agensi teknikal negara yang beroperasi secara berterusan 24 jam sehari.
Sebelum bermula musim MTL, kita dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan taklimat-taklimat mengenai jangkaan cuaca yang bakal melanda negara sepanjang MTL termasuk menganjurkan Forum Iklim Kebangsaan untuk sesi libat urus bersama agensi-agensi pengurusan bencana negara serta ketua-ketua komuniti dan masyarakat.
Bilik gerakan operasi cuaca akan diaktifkan apabila MTL mula diisytiharkan oleh pihak MetMalaysia. Bilik gerakan ini berfungsi untuk menjalankan taklimat harian dalam kalangan pejabat-pejabat meteorologi negeri bagi memastikan pemonitoran dan analisis cuaca dilakukan dengan lebih komprehensif.
Segala keputusan signifikan yang dibuat akan dikongsikan dengan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Pengairan dan
Saliran (JPS) agar proses pengeluaran amaran cuaca dan banjir dapat dihebah dengan lebih efektif.
Cuti kebanyakan pegawai MetMalaysia turut dibekukan bagi membolehkan operasi pemonitoran dan pengeluaran amaran cuaca signifikan tidak terganggu sepanjang tempoh MTL.
Kalau boleh kongsi apakah teknologi terkini yang digunakan MetMalaysia untuk mencerap cuaca? Dan dari segi ketepatan bagaimana?
Operasi pencerapan cuaca yang dijalankan oleh MetMalaysia dan agensi-agensi meteorologi seluruh dunia adalah berdasarkan garis panduan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (World Meteorological Organisation – WMO).
Sehubungan itu, teknologi yang diguna pakai adalah yang terkini serta diiktiraf badan dunia terbabit melibatkan peralatan-peralatan cuaca automatik dan konvensional, radar, satelit dan sensor profil udara atas.

Adakah MetMalaysia turut bekerjasama dengan agensi lain untuk meramal keadaan cuaca?
MetMalaysia adalah satu-satunya agensi dalam negara yang dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan ramalan dan amaran cuaca negara.
Walau bagaimanapun, terdapat pusat-pusat ramalan cuaca antarabangsa yang sentiasa berkongsi maklumat bersama MetMalaysia bagi membantu memantau cuaca ekstrem yang mungkin melanda negara.
Apakah nasihat kepada orang ramai bagi mengelakkan terperangkap dengan banjir atau musibah lain seperti tanah runtuh dan sebagainya?
Orang awam diingatkan agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa, terutama Amaran Cuaca Buruk yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.
Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web rasmi MetMalaysia (www.met.gov.my), aplikasi mudah myCuaca, serta platform media sosial rasmi MetMalaysia (Facebook, Instagram, X dan YouTube).
Untuk sebarang nasihat atau pertanyaan berkaitan cuaca, orang ramai boleh menghubungi hotline MetMalaysia yang beroperasi secara 24 jam di talian 1-800-22-1638.






