BANGKOK – Peserta pertandingan ratu cantik Miss Universe 2025 dari Jamaica, Dr. Gabrielle Henry dikejarkan ke hospital selepas terjatuh dari pentas ketika pusingan awal acara itu di Thailand, lapor portal berita Daily Express UK.
Rakaman video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan Gabrielle berjalan melintasi pentas dengan memakai gaun berwarna oren dan kasut tumit tinggi.
Selepas bergambar di hadapan pentas, dia berjalan ke kiri tetapi terjatuh selepas secara tidak sengaja terlanggar bahagian tepi pentas.
Penonton segera berdiri untuk memeriksa keadaan Gabrielle, manakala beberapa kakitangan tampil untuk membantunya.
Video media sosial kemudian menunjukkan Miss Jamaica itu dibawa pergi dengan pengusung ketika orang ramai bertepuk tangan sebagai tanda sokongan.
Organisasi Miss Universe Jamaica berkata, Gabrielle yang merupakan pakar oftalmologi, dikejarkan ke sebuah kemudahan perubatan swasta di daerah Thanyaburi.
Organisasi itu menambah, Gabrielle tidak mengalami sebarang kecederaan yang mengancam nyawa dan ujian sedang dijalankan untuk memastikan pemulihannya. – AGENSI















