WASHINGTON – Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo menghadiri jamuan negara Amerika Syarikat (AS) yang dihoskan Presiden Donald Trump di White House, lapor portal berita VnExpres.
Acara berprofil tinggi sempena kunjungan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman itu menghimpunkan kira-kira 200 tetamu di East Room, ruang terbesar di White House kelmarin.
Ronaldo yang kini bermain untuk kelab bola sepak Arab Saudi, Al Nassr membuat kemunculan awam pertama di AS sejak 2016.
Para hadirin terdiri daripada tokoh perniagaan, ahli politik dan individu berpengaruh seperti bilionair Elon Musk.
Ronaldo yang mengenakan tuksedo hitam bersama ‘bow tie’, segera menarik perhatian tetamu.
Trump memuji bintang tersebut dalam ucapan beliau, sambil menyatakan, anak lelakinya yang berusia 19 tahun, Barron, merupakan peminat setia Ronaldo.
“Barron dapat bertemu dengannya. Saya rasa dia kini lebih menghormati bapanya, hanya kerana saya memperkenalkan kamu (Ronaldo) kepadanya,” kata Trump.
Kali terakhir Ronaldo bermain dalam perlawanan di AS ialah pada Ogos 2014 ketika mewakili Real Madrid. Kelab tersebut kalah 1-3 menentang Manchester United di negeri Michigan dalam perlawanan yang dihadiri lebih 109,000 penonton. – AGENSI














