JASIN – UMNO menghormati keputusan MIC yang sedang mempertimbangkan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan parti itu tidak akan menghalang langkah tersebut.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, MIC berhak menentukan hala tuju politik mereka, namun hubungan akrab antara parti komponen selama ini wajar dijadikan pertimbangan sebelum keputusan muktamad dibuat.
“MIC umum nak tarik diri, nak masuk PN, kita tak paksa. You may leave, itu hak mereka. Tapi kalau mereka rasa masih sesuai kekal bersama kita, pintu sentiasa terbuka,” katanya padang sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Program Ladang Kontrak antara Koperasi Komong Jasin Berhad dan Golden Corn Marketing Sdn. Bhd. di ladang jagung Kampung Rim, hari ini.
Beliau berkata, UMNO sentiasa melihat MIC sebagai sebahagian keluarga besar BN dan berharap perbincangan dalaman parti itu dapat dilakukan sebaiknya demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat.
“Kita dengan MIC ini hubungannya baik. Kalau gaduh pun, gaduh-gaduh sayang, jadi saya berharap MIC dapat berbincang dengan baik. Tapi kalau akhirnya tetap mahu keluar, saya ucapkan terima kasih. Kalau terus kekal, alhamdulillah,” katanya. – KOSMO! ONLINE















