SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pesalah muda ditempatkan di Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun atas pertuduhan merogol seorang remaja yang dikenalinya menerusi aplikasi dalam talian.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Zulhakimi Zulhilmi yang berusia 18 tahun 11 bulan mengaku bersalah di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan pada prosiding laporan sosial dan hukuman.
Surita sempat berpesan kepada pesalah muda itu supaya menggunakan kesempatan untuk belajar ilmu kemahiran dan sebaiknya mengambil semula Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Taman Kemuning di sini antara pukul 3.30 hingga 4 pagi pada 30 Ogos lalu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa ke pusat karaoke bersama seorang rakan sebelum menghantar pesanan ke Telegram tertuduh yang baru dikenalinya melalui aplikasi Leo.
Mangsa meminta tertuduh supaya menghantarnya ke rumah, namun ketika dalam perjalanan lelaki itu membawa pelajar tingkatan empat berkenaan ke sebuah rumah dan dipaksa masuk melalui pintu belakang seterusnya dibawa ke satu bilik sebelum dirogol.
Peguam Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Hanis Anisah Jamiludin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang minimum dengan mencadangkan menjalani program khidmat masyarakat.
Menurut Hanis Anisah, pesalah baru berusia 18 tahun dan membantu bapanya bekerja sebagai buruh binaan untuk menambah pendapatan keluarga yang mana tertuduh mempunyai tiga adik yang masih bersekolah. -KOSMO! ONLINE















