PETALING JAYA – Beberapa jajahan di negeri Kelantan diramal berisiko mengalami banjir bermula 19 hingga 21 November ini susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) semalam.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dalam kenyataan berkata, potensi banjir itu dijangka berlaku di beberapa kawasan melibatkan jajahan Kuala Krai, Jeli, Bachok, Machang, Pasir Puteh, Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu dan Tanah Merah.
Bagi Jajahan Kuala Krai, kawasan terlibat adalah Lembangan Sungai Kelantan meliputi Sungai Durian, Sungai Tagor, Sungai Galas, Sungai Sedulek, Sungai Geh, Sungai Nal, Sungai Lebir, Sungai Mel, Sungai Mesek dan Sungai Pahi.
Di Jajahan Jeli, kawasan yang diramal terjejas ialah Lembangan Sungai Golok (Sungai Buloh, Sungai Lanas, Sungai Legeh dan Sungai Satan) serta Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Pergau, Sungai Belahat, Sungai Jeli, Sungai Jentiang dan Sungai Taduh).
Jajahan Bachok turut dijangka mengalami kesan di kawasan Lembangan Sungai Gali, Lembangan Sungai Kemasin (Sungai Jelawat) dan Lembangan Sungai Semerak (Sungai Lubuk Nibong dan Sungai Melor).
Untuk Jajahan Machang, kawasan berisiko berada di Lembangan Sungai Kelantan iaitu Sungai Abal, Sungai Bagan, Sungai Dalu, Sungai Galang, Sungai Hala, Sungai Hau, Sungai Joh, Sungai Kemudu, Sungai Kerak dan Sungai Kerawang.
Di Jajahan Pasir Puteh, kawasan dijangka terlibat adalah Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Semerak dan Sungai Tasek) serta Lembangan Sungai Semerak (Sungai Besut).
Sementara itu, Jajahan Tumpat melibatkan Lembangan Sungai Golok (Sungai Pengkalan Nangka dan Sungai Mentua) serta Lembangan Sungai Kelantan, manakala Jajahan Pasir Mas membabitkan Lembangan Sungai Golok (Sungai Bunut Susu dan Sungai Meranti) dan Lembangan Sungai Kelantan.
Bagi Jajahan Kota Bharu, kawasan dalam Lembangan Sungai Kelantan dikenal pasti berisiko, manakala Jajahan Tanah Merah melibatkan Lembangan Sungai Golok (Sungai Jegor) serta Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Kusial, Sungai Manal dan Sungai Jedok).
Orang ramai terutama di kawasan rendah, berhampiran sungai serta lokasi kerap banjir diminta berwaspada, memantau perkembangan semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE















