GERIK – Seorang pemuda yang dipercayai terjatuh ketika berada di rumah bot di Tasik Banding di sini pagi tadi ditemui lemas petang ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihak menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.28 pagi.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan sizeup seterusnya mengarahkan anggota membuat pencarian mangsa, Hizzbullah Mohd. Rizalman, 26, dengan membahagikan pencarian kepada tiga zon.
“Pencarian di Zon A melibatkan bot Polis Marin bersama anggota bomba, Zon B bot Polis Pengkalan Trojan dan Zon C bot orang awam yang melakukan pencarian secara pencarian di permukaan (surface searching) dalam jarak 1 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai jatuh.
“Pencarian turut disertai oleh skuba swasta dari Syarikat Trapia Tasik Banding. Pada pukul 4.15 petang, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar telah membuat pencarian dengan melakukan selaman pada kedalaman 12 meter,” katanya di sini hari ini.
Shazlean berkata, pada pukul 5.23 petang, mangsa telah berjaya dijumpai oleh PPDA bomba pada jarak lima meter dari lokasi terakhir mangsa dipercayai jatuh ke dalam air.
“Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














