KUALA LUMPUR – Kemelut membabitkan isu pemalsuan dokumen yang menghimpit arena bola sepak negara harus diselesaikan secara dalaman tanpa membabitkan campur tangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail bimbang implikasi terhadap bola sepak negara akan jadi lebih teruk sekiranya KBS campur tangan termasuk risiko digantung.
“KBS tidak boleh campur, kerajaan tidak boleh campur. Kalau kerajaan campur lagi teruk, mungkin (FAM) boleh digantung seperti yang berlaku terhadap beberapa negara sebelum ini termasuk Indonesia dan Brunei.
“Mereka (FAM) kena selesaikan sendiri dengan FIFA. Namun saya berasa kerajaan pun tahu dan tidak akan campur tangan kerana perkara ini serius. Jadi, kerajaan tidak boleh campur tangan dalam urusan FIFA.
“Jika FAM digantung ia akan memberi impak yang cukup besar dan boleh memusnahkan ekosistem bola sepak dalam negara,” katanya.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini mendedahkan secara terperinci alasan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan tujuh pemain naturalisasi selepas dihukum isu pemalsuan dokumen.
Jawatankuasa Rayuan FIFA yang dikeluarkan sebelum ini mengekalkan hukuman berat yang dikenakan terhadap badan induk bola sepak negara dan tujuh pemain terbabit yang memalsukan dokumen bagi menyarung jersi Harimau Malaya. – KOSMO ONLINE














