fbpx
AILA kini menggunakan iPhone 15.

Bateri, ruang storan keutamaan Aila Azizul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALITI bateri dan storan dalam pemilihan telefon pintar menjadi spesikasi penting buat pelakon Aila Azizul yang namanya sedang meningkat naik sementelah karya debut layar perak bertajuk Malam Terlarang berjaya meraih kutipan lebih RM7 juta dalam tempoh dua minggu tayangan.

Kongsi wanita berusia 30 tahun itu, pengalaman terdahulu membuatkan dia membulatkan hati untuk mendapatkan peranti yang lebih bermutu sekali gus membantu uruskan aktiviti harian.

“Telefon saya sebelum ini rosak dan tidak boleh digunakan langsung. Sebelum telefon itu gagal berfungsi sepenuhnya, saya perlu bersabar ketika berdepan dengan situasi telefon tersekat pada waktu-waktu penting.

“Disebabkan enggan melalui situasi sama, saya fikir sudah tiba masanya untuk mendapatkan telefon baharu yang bukan sahaja perisiannya bersesuaian dengan masa sekarang tetapi dapat memudahkan kerja.

“Jadi saya tidak lagi berdepan dengan keadaan telefon tersekat atau kehabisan bateri dan storan terlalu cepat,” ujarnya kepada K-Tekno.

Bercerita mengenai telefon pintar yang digunakannya, Aila memberitahu, iPhone 15 telah memikat hati dan mula digunakan sejak awal tahun lalu sehingga ke hari ini.

Dalam nada teruja pelakon drama Generasi: Perfect 10 itu mengakui berpuas hati dengan prestasi bateri dan storan selain tidak merancang untuk menggantikan telefon miliknya meskipun jenama yang digunakannya itu telah meluncurkan jenis baharu.

Telefon itu juga dianggap sebagai pelaburan bagi membolehkan dia mendapatkan kualiti visual gambar mahupun video yang lebih baik.

“Sebelum ini saya menggunakan telefon jenis iPhone X selama empat tahun sebelum ia benar-benar rosak. Kemudian beralih ke iPhone 15 kerana berpendapat sudah tiba masanya untuk menggunakan telefon baharu.

“Biarpun iPhone 17 sudah dilancarkan tetapi saya tidak mempunyai perancangan untuk membelinya dalam tempoh masa terdekat kerana masih berpuas hati dengan apa yang ada.

“Kita juga perlu mengemas kini iOS (sistem operasi peranti Apple) agar bersesuaian dengan telefon. Sekiranya telefon tersebut tidak menyokong sistem baharu, ia tetap tidak boleh digunakan dan perlu digantikan dengan baharu,” katanya.

Aila juga menggunakan telefonnya untuk suntingan gambar dan video serta mengatur aktiviti kerjaya setiap hari tidak mengira sama ada melibatkan urusan kerja atau peribadi.

Teknologi masa kini membuatkan peranti pintar tidak hanya memiliki kemampuan asas seperti membuat panggilan dan menghantar kiriman mesej tetapi pada masa sama mampu menjadi pembantu maya.

“Agak mudah untuk mengatur aktiviti apabila saya hanya perlu mencatat aktiviti di kalender bersama nota dan meletakkan mod peringatan jika ada perkara penting.

“Sejujurnya, saya sangat suka kualiti gambar dan video yang diambil daripada telefon ini. Sekiranya ada yang perlu disunting sebelum dimuat naik ke media sosial, saya akan sunting menggunakan aplikasi Lightroom (Adobe Lightroom).

“Aplikasi suntingan ini juga penting kerana dapat membantu untuk mendapatkan hasil gambar yang memuaskan. Bagi saya kualiti kamera yang disokong dengan aplikasi suntingan dapat membantu menghasilkan potret dan visual yang lebih memuaskan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN