Globalisasi, urbanisasi pesat dan tekanan terhadap sumber semula jadi menjadikan inovasi bandar pintar sebagai keutamaan di kebanyakan negara di dunia.
Daripada senarai bandar dunia yang paling maju dari segi kecekapan, kelestarian dan kualiti hidup, tiga bandar di Eropah menonjol sebagai peneraju gerakan bandar pintar iaitu Zurich dan Geneva di Switzerland serta Oslo, Norway.
Ketiga-tiga bandar itu bukan sahaja berada di hadapan dalam ranking antarabangsa berdasarkan IMD Smart City Index, sebaliknya menjadi model yang boleh dijadikan rujukan oleh negara lain.
Zurich di tangga pertama, Oslo (kedua) dan Geneva (ketiga) mengatasi bandar-bandar popular lain seperti Dubai di Emiriyah Arab Bersatu, London (Britain), Copenhagen (Denmark), Seoul (Korea Selatan) dan Beijing (China).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Enrico Baumann iaitu sebuah firma teknologi Elektron dari Australia, Zurich sering berada di tangga teratas indeks bandar pintar global.
Katanya, pada tahun ini, kedudukan bandar itu semakin kukuh sebagai bandar paling efisien dan berdaya huni.
Kejayaan Zurich berpunca daripada pendekatan holistik terhadap penyelesaian isu bandar dengan menggabungkan teknologi digital, ekonomi berasaskan data dan kelestarian alam sekitar.
“Salah satu kekuatan utama Zurich adalah sistem pengangkutan awamnya yang sangat efisien. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik masa nyata membolehkan bas, tram serta kereta api diselaraskan mengikut corak penggunaan harian penduduk.
“Di samping itu, Zurich telah memperkenalkan rangkaian mobiliti mikro seperti e-basikal dan e-scooter pintar yang dihubungkan terus dengan aplikasi bandar,” katanya dalam portal, Greater Zurich Area.

Tambahnya, segala bentuk mobiliti daripada trem hingga basikal elektrik boleh dirancang dengan satu platform untuk mendapatkan cadangan perjalanan terpantas, paling hijau dan murah.
Zurich juga terkenal dengan projek tenaga bersihnya dengan lebih 80 peratus tenaga elektrik datang daripada sumber boleh diperbaharui seperti hidroelektrik dan solar.
SISTEM pengurusan tenaga pintar turut digunakan di Zurich untuk mengawal penggunaan elektrik dalam bangunan, lampu jalan adaptif dan rangkaian pemanasan.
Langkah tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan gas karbon, malah meningkatkan kecekapan kos.
“Zurich juga merupakan hab ‘fintech’ dan AI yang berkembang pesat. Syarikat-syarikat teknologi di bandar ini banyak membangunkan penyelesaian pintar.
“Misalnya, sistem keselamatan bandar berasaskan analitik serta platform e-governance yang membolehkan penduduk mengakses ratusan perkhidmatan kerajaan secara digital.
“Kejayaan Zurich menunjukkan bahawa teknologi hanya akan berfungsi jika ia disepadukan dengan gaya hidup masyarakat dan disokong oleh dasar bandar yang kukuh,” ujar Baumann.
Sementara itu, Oslo pula mencipta gelombang perubahan sebagai salah satu bandar paling hijau di dunia.
Dikenali sebagai bandar yang mencapai neutral karbon lebih awal daripada sasaran global, Oslo memilih menggunakan pendekatan inovatif dalam mengurus emisi, tenaga, pengangkutan dan perancangan bandar.
Berdasarkan laman web rasmi Kesatuan Eropah, European Commission, salah satu pencapaian terbesar Oslo adalah kadar penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang tertinggi di dunia.
“Lebih 70 peratus kenderaan baharu yang dijual di bandar ini adalah EV, hasil gabungan insentif kerajaan, pengecualian cukai serta rangkaian pengecas pintar sangat luas.
“Sistem pengecasan ini dihubungkan dengan grid tenaga bersih bagi memaksimumkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sambil melindungi kestabilan rangkaian,” kongsinya.
Ujarnya, Oslo juga terkenal dengan sistem pengurusan sisa yang canggih.
Bandar itu menggunakan teknologi pengasingan automatik, pembakaran sisa cekap dan sistem pneumatik bawah tanah yang mengurangkan bunyi serta pencemaran daripada lori sampah.
Lebih penting, pendekatan bandar itu memastikan sisa dijadikan sumber tenaga, bukan bahan buangan semata-mata.
Dari segi reka bentuk bandar, Oslo memfokuskan kepada laluan pejalan kaki.
Banyak kawasan di pusat bandar itu telah diubah menjadi zon tanpa kereta, dan digantikan dengan rangkaian bas elektrik, laluan basikal dan ruang hijau mesra komuniti.
“Pembangunan bandar baharu seperti kawasan Bjørvika menunjukkan gabungan seni bina moden, inovasi tenaga pasif dan kehidupan komuniti yang harmoni.
“Yang menjadikan Oslo sebahagian daripada bandar paling pintar adalah komitmen terhadap model pembangunan mampan yang boleh ditiru oleh dunia,” jelasnya.
Oslo membuktikan bahawa bandar masa depan bukan hanya mengenai kecanggihan, sebaliknya bagaimana teknologi menyokong kehidupan masyarakat dan alam sekitar.
Dalam pada itu, Geneva pula membawa imej bandar pintar yang lebih bertumpu pada kesejahteraan penduduk, keselamatan dan inovasi sosial.
Biarpun bandar itu dikenali sebagai pusat diplomasi antarabangsa, namun pada masa sama merupakan salah satu kota paling pintar dari segi perkhidmatan awam dan struktur bandar manusiawi.
Dari sudut teknologi, Geneva telah membuat pelaburan besar dalam sistem data bandar yang menyatukan pelbagai jabatan kerajaan termasuk mobiliti, keselamatan, utiliti dan kesihatan awam.
Data dikumpulkan secara telus dan digunakan untuk meramal tingkah laku trafik, mengurangkan kesesakan serta meningkatkan tindak balas kecemasan.
Penduduk juga boleh mengakses maklumat bandar secara terbuka, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih baik dalam kehidupan seharian.
Pengurus Bandar Pintar Geneva, Patrick Montier menjelaskan bahawa bandar itu sangat menekankan kualiti hidup yang menjadi satu aspek penting.
“Bandar ini mempunyai jaringan taman awam, ruang hijau dan kawasan persisiran tasik yang direka untuk mengurangkan tekanan urbanisasi.
“Walaupun menjadi pusat kewangan dan diplomatik, namun Geneva kekal tenang serta selamat untuk komuniti,” katanya.
Kongsinya lagi, sistem keselamatan bandar itu menggabungkan analitik video dan pemantauan mesra privasi bagi menjamin ketenteraman awam tanpa menjejaskan hak individu.
Dalam sektor tenaga, Geneva menggunakan strategi kelestarian yang hampir sama dengan Zurich dan Oslo.
Bagaimanapun, bandar itu memberi fokus pada pengurusan air dan tenaga district heating yang bersumberkan sisa haba industri.
Rangkaian pengangkutan awam Geneva juga antara yang terbaik di Eropah, dengan tram elektrik, bas hidrogen dan laluan basikal cukup luas.
Zurich, Oslo dan Geneva masing-masing membawa falsafah unik tentang bandar pintar.
Zurich menekankan integrasi teknologi dan data ekonomi, Oslo pula memberi fokus pada kelestarian dan neutral karbon. Sementara itu, Geneva memberi lebih perhatian kepada kualiti hidup, keselamatan serta inovasi sosial.
Ketiga-tiga bandar itu membuktikan bahawa bandar pintar bukan sekadar soal teknologi, sebaliknya gabungan dasar, perancangan dan nilai kemanusiaan.














