fbpx
Aina Abdul

Gerakan solo, Aina ikut kata hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYITA khalayak dengan Sumpah, kehadiran Aina Abdul dalam segmen muzik tanah air kini bukan lagi sembarangan. Lihat sahaja respons yang diraih pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).

Peluang lolos sebagai salah seorang finalis di pentas berprestij dunia muzik tersebut cukup membuktikan kredibiliti Aina, bukan sahaja sebagai penyanyi bahkan pencipta serta penulis lirik lagu berkenaan. Portfolio tersebut menjadi nilai tambah untuk namanya.

Daripada situ, Aina semakin diperhatikan. Biarpun mencuri perhatian seiring kemunculan ramai penyanyi yang tergolong dalam kategori ‘budak baru nak up’ (BBNU), dia berbeza.

AINA merancang untuk melancarkan dua buah single secara serentak selewat-lewatnya September nanti.

 

Karier nyanyiannya telah bermula sejak tahun 2014 selepas menyertai program realiti Mentor Legend sebagai anak didik Ratu Rock Malaysia, Ella adalah menjadi rujukan terbaik.
Akui pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani itu, benar perhatian industri hanya mula terarah kepadanya apabila Sumpah mara ke AJL34.

Biarpun tidak memenangi sebarang anugerah, namun sejak membuktikan kehebatan vokal pada malam gemilang tersebut, dia dihujani banyak tawaran sebagai artis rakaman.
Perasaannya bercampur baur antara terharu dan bersyukur, namun Aina kekal dengan prinsipnya. Dia memilih untuk menolak peluang tersebut dengan baik.

“Saya bukan sombong atau menidakkan rezeki, tetapi saya sampai ke tahap ini bukan hasil usaha seorang diri, sebaliknya dengan bantuan skuad pemuzik yang bersama sejak awal karier.
“Kalau saya mendapat tawaran di syarikat besar, saya mahu membawa mereka bersama.

“Jika tidak, saya tidak mempunyai masalah bergerak sendiri seperti sekarang,” katanya ketika ditemui media pada sesi rakaman program realiti Immortal Songs, di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Tidak berasa ralat bergelar artis tanpa syarikat rakaman, wanita berusia 27 tahun itu bagaimanapun mengakui situasi yang diharungi menambahkan cabaran dalam perjalanan kerjayanya.
Mengambil contoh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan bermula Mac, Aina turut berdepan cabaran bekerja dari rumah.

Memandangkan Aina tinggal bersendirian menyewa di Kuala Lumpur, manakala kumpulan pemuziknya berada di Negeri Sembilan, dia terpaksa belajar merekod single tanpa bantuan sesiapa.
“Saya memang mempunyai kemudahan untuk merakam lagu di rumah, cuma jarang menggunakannya secara serius. Biasanya urusan muzik diuruskan rakan-rakan,” jelasnya.

Sepanjang tiga bulan berada di rumah, Aina turut menyiapkan beberapa single untuk penyanyi lain. Menyentuh sedikit soal perancangan kerjaya, Aina bercadang untuk melancarkan dua single serentak selewat-lewatnya pada September ini.

 

AKUR suasana muzik semasa, Aina mengharapkan perubahan konsep single terbaharunya nanti mudah diterima peminat. – Ihsan MEDIA PRIMA BERHAD & INSTAGRAM AINA ABDUL

 

Pasaran

Kali ini, penyanyi yang pernah menjuarai World Championships of Performing Arts (WCOPA) 2014 di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat itu bakal menampilkan sisi berbeza berbanding buah tangan terdahulu.

Fokus Aina, dia mahu menarik peminat muda dengan harapan singlenya diberi ruang diputarkan di radio-radio tempatan.

“Ikutkan hati, saya memang mahu terus menghasilkan lagu yang mempunyai mesej tersendiri seperti Sumpah dan Semalam, tetapi akur apabila ada yang mengatakan konsep sebegitu terlalu berat untuk dikomersialkan.

“Jadi, saya turuti permintaan pasaran dengan menghasilkan lagu lebih ringan dan santai,” tuturnya yang masih berahsia tentang judul dua singlenya kelak.

Bercakap tentang strategi pelancaran dua lagu secara serentak, Aina hanya ingin melihat perbandingan pilihan peminat antara kedua-duanya supaya senang untuk mengenal pasti cita rasa pendengar pada masa kini.

Tidak melihat tindakan tersebut sebagai satu keputusan berisiko, graduan muzik daripada Universiti UCSI itu sebaliknya menyifatkan tindakannya sebagai taktik pemasaran yang menarik.
“Tahun 2020 hanya tinggal beberapa bulan lagi, jadi saya tiada masa untuk peram lagu lama-lama.

“Banyak lagi lagu yang hendak saya hasilkan. Jadi, tiada salahnya untuk saya lancarkan dua single secara serentak,” luahnya menutup perbualan.

 

PENGALAMAN dua kali putus cinta pada tahun 2017 membuatkan Aina selesa mengenepikan soal hati dan fokus terhadap karier.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN