KOTA KINABALU – Seramai 596 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata proses penamaan calon berlangsung bagi 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) yang melibatkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
”Calon bebas mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi dengan 74 calon. Ia diikuti Parti Warisan dengan 73 calon, mewakili semua DUN yang dipertandingkan.
”Parti Impian Sabah (PIS) pula tampil dengan 72 calon sementara Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) seramai 55 calon, Parti Soladariti Tanah Airku (STAR) 46 calon, Barisan Nasional (45 calon); Perikatan Nasional (42 calon) dan 40 calon bagi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM),” katanya pada sidang media selepas selesai hari penamaan calon bagi PRN17 Sabah hari ini.
Mengulas lanjut Ramlan berkata, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula meletakkan 25 calon manakala Pakatan Harapan (22 calon), Parti Kebangsaan Sabah (20 calon), Parti Kerjasama Anak Negeri (17 calon), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (16 calon) dan 14 calon dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Dalam pada itu, beliau berkata tujuh calon membabitkan Parti Rumpun Sabah (RUMPUN), enam calon Parti Maju Sabah (SAPP) selain masing-masing lima calon dari Parti Damai Sabah (SPP) dan Perjuangan Rakyat (PR).
”Tiga lagi calon masing-masing dari Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).
“Manakala masing-masing satu calon diwakili oleh Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA) serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN),” katanya.
Ramlan menambah, saingan mengikut penjuru pula memperlihatkan satu DUN menyaksikan saingan 14 penjuru diikuti empat DUN dengan 13 penjuru selain masing-masing dua DUN 12 penjuru dan empat penjuru serta enam DUN menyaksikan saingan 11 penjuru.-KOSMO! ONLINE















