BANDAR RAYA MEXICO – Kejadian mengejutkan yang menimpa Presiden Claudia Sheinbaum apabila beliau diraba di tempat awam mendorong tindakan politik segera untuk menangani masalah gangguan seksual, lapor akhbar The Guardian semalam.
Setiausaha Hal Ehwal Wanita Mexico, Citlalli Hernández membentangkan pelan presiden untuk menangani isu tersebut merangkumi tindakan seperti memastikan hukuman penjara bagi kes gangguan seksual.
Pelan itu turut menggalakkan wanita melaporkan insiden gangguan dan penderaan seksuall di samping melatih pendakwa raya dan pegawai lain tentang cara mengendalikan kes tersebut.
Ia juga merangkumi kempen kesedaran awam di ruang awam, tempat kerja, sekolah dan pengangkutan awam bagi mencegah keganasan terhadap wanita.
“Kami ingin memberitahu semua wanita Mexico, kanak-kanak perempuan, remaja perempuan dan wanita secara umum bahawa anda tidak bersendirian.
“Apabila anda mengalami apa-apa bentuk keganasan, adalah penting untuk melaporkannya,” kata Hernández minggu lalu.
Pelan itu susulan insiden di tempat awam, di mana seorang lelaki yang kelihatan mabuk cuba mencium Presiden Mexico dan menyentuh payudaranya ketika beliau berada di sebatang jalan di Bandar Raya Mexico, 4 November lalu.
Insiden itu disiarkan dalam klip video dan mencetuskan kemarahan wanita Mexico.
Seorang anggota pasukannya kemudian campur tangan, manakala lelaki tersebut telah ditangkap. – AGENSI














