Awal minggu lalu, Filipina dilanda Taufan Kalmaegi yang membawa hujan lebat dan angin kencang sehingga mengakibatkan banjir serta tanah runtuh.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 204 nyawa telah terkorban di Filipina. Situasi ini telah mendorong Presiden, Ferdinand Marcos Jr. mengisytiharkan Darurat Kebangsaan di negara itu.
Belum pun reda dengan keganasan Taufan Kalmaegi, negara kepulauan itu berdepan satu lagi fenomena sama dikenali sebagai Taufan Fung-wong.
Taufan dikategorikan sebagai ‘super’ itu telah membadai wilayah di sebelah Utara Filipina pada Sabtu lalu yang membawa angin berkelajuan antara 185 hingga 230 kilometer/jam selama dua hingga tiga hari.
Setakat ini, taufan itu telah menyebabkan dua orang maut, manakala 900,000 terpaksa dipindahkan. Hakikatnya, dua fenomena itu merupakan sebahagian daripada puluhan taufan yang melanda Filipina pada setiap tahun.
Menurut laporan, kira-kira 20 siklon tropika terbentuk di sekitar Filipina setiap tahun, namun hanya separuh daripadanya yang akan menjejaskan penduduk dan negara itu.
Sebagai sebuah negara berjiran dengan Malaysia, penulis tertarik untuk mengetahui punca yang menyebabkan Filipina sering dilanda taufan pada setiap tahun. Hasil dapatan penulis, salah satu punca yang menyebabkan Filipina terdedah kepada taufan adalah disebabkan faktor geografinya.
Filipina dikatakan berada di atas Jalur Taufan Pasifik Barat iaitu kawasan pertembungan antara perairan Lautan Pasifik yang panas dengan udara tropika lembab, sekali gus mewujudkan taufan.
Perubahan angin bermusim terutamanya Monsun Barat Daya dan Timur Laut juga menjadi penyebab kepada cuaca tidak stabil hingga menyokong perkembangan taufan.
Selain itu, ketiadaan daratan besar menjadi penghadang, menyebabkan Filipina sangat terdedah dengan taufan kuat berbanding negara jiran lain seperti Vietnam atau Thailand.
Faktor perubahan iklim pula telah menyebabkan Filipina ketika ini lebih terdedah dengan taufan kuat sehingga mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda bernilai jutaan ringgit.
Apabila suhu global meningkat, lautan akan menjadi lebih panas hingga mencetuskan taufan yang mampu mengekalkan kekuatannya lebih lama termasuk ketika menghampiri kawasan daratan.
Memandangkan kita hidup di era moden, maka kedudukan dan kelajuan sesuatu taufan boleh dipantau dari semasa ke semasa menerusi teknologi satelit.
Baru-baru ini, penulis berpeluang memantau pergerakan Taufan Fung-wong menerusi Zoom Earth. Dari situ, segala informasi boleh diperolehi antaranya, kedudukan taufan, kelajuan angin dan kekuatan hujan.
Situasi ini sedikit sebanyak dapat memudahkan pihak berkuasa dan masyarakat membuat persiapan awal termasuk berpindah ke kawasan selamat jika perlu.
Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya perlu rasa bersyukur kerana negara ini bebas daripada bencana-bencana besar yang boleh meragut banyak nyawa seperti taufan, gempa bumi dan tsunami.
Justeru itu, apabila ada negara-negara jiran ditimpa musibah atau bencana besar, kita sepatutnya menzahirkan simpati dengan membantu meringankan beban mangsa atas semangat ASEAN.
















