
Amat sedih mendengar nasib malang yang menimpa sesetengah kanak-kanak dalam negara yang disyaki menjadi mangsa jenayah kejam dan tidak berperikemanusiaan seperti pembunuhan dan jenayah seksual.
Ini menunjukan kepada kita semua bahawa dunia masa kini memang sudah tidak selamat lagi untuk semua pihak untuk hidup aman dan tenteram dan ini termasuklah golongan anak kecil itu.
Berbanding dengan orang dewasa, golongan itu lebih mudah menjadi mangsa jenayah kerana usia mereka yang masih muda serta tiadanya pengalaman mengenai kehidupan.
Oleh itu, langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh semua pihak khusus orang dewasa untuk memastikan golongan kanak-kanak sentiasa selamat. Masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan masing-masing bagi melindungi anak kecil itu.
Kita tidak boleh lepas tangan terhadap perkara ini, golongan itu adalah golongan bawah umur yang tidak memiliki permikiran yang matang serta tidak ketahui risiko bahaya yang sentiasa wujud di persekitaran mereka.
Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab orang dewasa yang matang untuk menjadi pelindung kepada golongan kanak-kanak.
Ibu bapa serta penjaga terhadap golongan kanak-kanak perlu memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan anak kecil yang di bawah jagaan mereka itu sentiasa selamat.
Tanggungjawab semua
Walaupun tugas dan tanggungjawab yang dipikul adalah sangat berat, mereka harus mainkan peranan mereka bagi memastikan kanak-kanak bawah jagaan mereka tidak terjebak dengan sebarang aktiviti yang memudaratkan atau lebih teruk lagi menjadi mangsa jenayah.
Sudah banyak kali sering kedengaran isu yang melibatkan golongan itu seperti pengabaian, penderaan, kecuaian penjagaan, dan lain-lain lagi.
Terdapat juga isu golongan si kecil yang tidak dipantau dengan baik oleh pihak ibu bapa dan penjaga sehingga mereka terjebak dengan pelbagai jenis masalah sosial seperti
basikal lajak, kanak- kanak yang membawa kenderaan tanpa sebarang lesen.
Ada yang terlibat dengan lumba haram, melepak di tempat awam, ada juga yang bermain dengan mercun berbahaya, terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta aktiviti jenayah, dan lain-lain lagi.
Pengabaian itu akhirnya boleh menyebabkan mereka terdedah menjadi mangsa jenayah oleh penjenayah kerana tidak dapat melindungi diri sendiri kerana tidak upaya mempertahankan diri.
Akta berkaitan kanak-kanak
Semua pihak harus memainkan peranan mereka bagi memastikan keselamatan golongan kanak-kanak sentiasa terjaga pada setiap masa.
Sebagai orang yang paling dekat mereka, ibu bapa dan pihak penjaga memainkan peranan paling penting bagi memastikan anak-anak di bawah jagaan mereka tidak terdedah dengan sebarang risiko ancaman yang boleh mengugat keselamatan diri.
Negara kita sudah pun memiliki sebuah akta khusus bagi menjaga serta melindungi golongan kanak-kanak iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]. Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002.
Akta Kanak -Kanak 2001 [Akta 611] terbabit telah memansuhkan tiga peruntukkan undang-undang lain yang lain yang sudah lapuk serta tidak sesuai untuk digunakan lagi dalam negara kita iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947 [Akta 90], Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 [Akta 468] dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 [Akta 106].
Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] ini memberi fokus kepada aspek pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan ini dalam negara kita.
Pada tahun 2016 pindaan telah dilakukan terhadap Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] ini bagi terus memantapkan lagi aspek perlindungan dan kebajikan terhadap golongan kanak-kanak dalam negara kita.
Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] ini telah mendefinisikan golongan kanak-kanak melalui Seksyen 2 sebagai: a) seseorang yang di bawah umur 18 tahun; dan b) berhubung dengan prosiding jenayah, seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam Seksyen 82 Kanun Keseksaan [Akta 574].
Tindakan keras boleh diambil terhadap pihak yang gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dalam melindungi ini di bawah jagaan mereka.
Semua pihak khususnya pihak ibu bapa dan penjaga perlu mengambil serius terhadap perkara ini serta mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjaga serta melindungi golongan anak di bawah jagaan mereka.
Keselamatan golongan kanak-kanak perlu diberi fokus oleh semua pihak. Jiran tetangga serta masyarakat sekeliling juga harus memainkan peranan mereka dalam melindungi golongan bawah umur itu.
Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia














