KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kedudukan ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan meskipun berdepan cabaran global hasil pelaksanaan dasar fiskal berhemah serta penyasaran subsidi yang berkesan.
Menurut beliau, langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan berjaya menjimatkan dana negara sebanyak RM15 bilion, sekali gus memperkukuh kedudukan fiskal negara.
“Penyasaran subsidi satu keputusan yang telah diuar-uarkan selama berpuluh tahun, tetapi memerlukan tekad politik. Alhamdulillah, kita dapat laksanakan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliu menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) mengenai keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi Madani.
Anwar berkata, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 4.4 peratus pada separuh pertama tahun 2025 dan 5.2 peratus pada suku ketiga, manakala Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita meningkat kepada RM54,793.
Beliau menjelaskan, unjuran semasa menunjukkan pertumbuhan keseluruhan tahun ini berpotensi melebihi sasaran awal yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi negara.
“Angka dan data tidak boleh dimungkiri. Ketika kita ambil alih, defisit fiskal pada 2023 berada pada kadar 5.5 peratus. Tahun 2024 turun kepada lima peratus dan bagi 2025, kita jangka turun lagi kepada 3.8 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menafikan dakwaan hutang negara meningkat tanpa kawalan dengan menjelaskan bahawa pinjaman baharu kerajaan sebenarnya menurun daripada RM100 bilion pada 2022 kepada RM77 bilion pada 2024.
“Dia (pembangkang) kata hutang kita membekak. Dia kira hutang lama dan kadar faedah, tetapi kenyataannya hutang baharu daripada kerajaan ini menurun.
“Masih berhutang sebab kita tidak mahu membebankan dari segi program infrastruktur asas seperti tebatan banjir termasuk di Kelantan, Terengganu dan kesihatan dan pendidikan,” katanya.
Selain itu, katanya, daya saing global Malaysia melonjak 11 anak tangga yang merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh sedekad.
Kata beliau, trend perdagangan pula terus positif dan jumlah dagangan pada tahun ini (dari) Januari hingga September meningkat 4.4 peratus.
“Ini dalam keadaan ekonomi yang belum menentu terutama akibat daripada tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tapi masih meningkat kepada RM2.24 trilion,” katanya. – KOSMO! ONLINE














