KUALA PILAH – Seorang suami menunaikan janji kepada arwah isteri dengan mewakafkan harta wanita itu berupa emas serta wang berjumlah RM60,380 untuk jalan Allah menerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) semalam.
Razali Zamzam, 62, berkata, janji itu dibuat seminggu sebelum isterinya, Rohaya Abu Hassan, 59, meninggal dunia akibat kanser ovari yang dihidapinya sejak 2017, lumpuh dan sakit buah pinggang.
Kata peniaga air soya dan pengusaha perkhidmatan melancong itu, mereka tidak dikurniakan anak sejak berkahwin pada 1989, namun mengambil anak angkat lelaki yang kini berusia 27 tahun.
“Saya beritahu arwah harta tidak ada harga ketika dia menyerahkan barang kemas dan wang sebelum meninggal dunia.
“Jadi bila dia meninggal dunia pada 29 Oktober lalu, saya nekad tunaikan janji untuk wakafkannya,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, kisah kesetiaan Razali dikongsi MAINS Kuala Pilah di laman Facebook apabila mewakafkan harta Allahyarham Rohaya hasil daripada penjualan emas berserta wang simpanan yang ditemui selepas kematiannya.
Menurut Razali, dia risau akan terleka dan berubah niat jika melambat-lambatkan niat serta janji yang dibuat itu.
Mengimbau semula detik kematian isterinya, Razali memberitahu, arwah pada mulanya tidak mahu ditahan di wad dan mahu pulang ke rumah walaupun keadaannya agak kritikal ketika itu.
“Namun bila 15 minit sampai rumah pada pukul 6 petang di Pelangai dengan menaiki ambulan, dia disahkan meninggal dunia walaupun sebelum itu dia ada membuka mata sekejap,” katanya sedih.
Ujar Razali, kasih sayangnya kepada isteri begitu mendalam dan dia sanggup menjaga wanita itu ketika sakit termasuk menguruskan najis serta memandikan isterinya yang sudah terlantar.
“Sepanjang perkahwinan kami, ke mana sahaja saya pergi, saya pergi melancong ke, tak pernah tinggal dia. Cuma dua tahun lepas, pertama kali isteri tak dapat ikut kerana tak larat sebelum disahkan sakit buah pinggang,” katanya.














