BAITULMAQDIS – Seorang menteri Israel menggesa masyarakat Yahudi di New York, Amerika Syarikat (AS) agar mempertimbangkan cadangan untuk berhijrah ke negara haram itu, lapor laman berita Middle East Eye semalam.
Amichai Chikli membuat gesaan itu susulan kemenangan calon Parti Demokrat beragama Islam, Zohran Mamdani, sebagai datuk bandar baharu bagi Bandar Raya New York kelmarin.
Chikli yang merupakan Menteri Hal Ehwal Diaspora Israel, menyifatkan kemenangan Mamdani sebagai titik perubahan kritikal bagi Bandar Raya New York.
Ini kerana kemenangan Mamdani akan menggugat asas tempat yang dahulunya menjadi simbol kebebasan dan peluang bagi ramai pelarian Yahudi, katanya.
Chikli yang sebelum ini pernah menyuarakan sokongan terhadap pembersihan etnik dan pendudukan di selatan Lubnan serta penempatan haram Yahudi di Gaza menuduh Mamdani sebagai penyokong Hamas.
Menteri tersebut mendakwa pandangan ahli politik Islam berusia 34 tahun itu tidak jauh berbeza daripada pelampau 25 tahun lalu yang membunuh 3,000 orang, apabila dia merujuk kepada serangan 11 September 2001.
“Orang Yahudi di New York harus benar-benar mempertimbangkan untuk menjadikan tanah Israel sebagai rumah baharu mereka,” katanya. – AGENSI














