fbpx
Pensol ditiup menggunakan hidung untuk menghasilkan bunyi lembut mendayu.

Tiup pensol guna angin hidung, hasilkan bunyi mendayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENSOL mungkin kelihatan seperti sebatang buluh kecil, namun alat muzik tradisional Orang Asli itu mempunyai keunikan tersendiri.

Tidak seperti seruling biasa yang ditiup menggunakan mulut, pensol pula menggunakan angin hidung untuk menghasilkan bunyi lembut mendayu.

Dalam kepercayaan masyarakat Orang Asli, tiupan pensol bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi lambang ketenangan dan keharmonian dengan alam.

Dahulunya, alat itu sering dimainkan dalam upacara adat, majlis perkahwinan, selain untuk menarik perhatian dan memikat hati.

Bagi Roas Noah Zachery, 21, pensol bukan sekadar alat muzik tradisional, ia juga menjadi sebahagian daripada identiti dirinya sebagai anak muda suku Semai.

Katanya, minat terhadap pensol mula berputik sejak kecil kerana sering melihat bapanya yang juga aktivis budaya, Ronnie Bahari meniup alat muzik itu di rumah.

“Sejak umur enam tahun, saya sudah cuba tiup pensol sebab selalu tengok ayah main. Selepas tamat sekolah menengah, baru saya mula main secara serius.

“Setakat ini, saya tahu tiga lagu tradisional Orang Asli iaitu Selamat Tiba, Burung Kenyalang dan Irama Sewang,” katanya kepada K-Remaja.

Sebagai anak muda, graduan pengajian Diploma Geometrik atau Ukur Tanah di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak itu gemar bereksperimen dengan menggabungkan bunyi pensol dan muzik moden.

Pemuda yang mahir bermain gitar dan piano itu juga merasakan gabungan bunyi lembut pensol dengan muzik Electronic Dance Music (EDM) mampu menghasilkan bunyi unik, segar dan tersendiri.

Katanya, usaha itu dilakukan supaya alat muzik tradisional Orang Asli dapat diterima oleh generasi baharu dan tidak dilupakan.

Noah (dua dari kanan) merupakan anak kepada aktivis budaya, Ronnie (kanan) yang aktif mempromosi alat muzik Orang Asli.

“Pensol sinonim dengan nafas dan kehidupan. Bila saya tiup, rasa tenang. Macam hilang semua tekanan. Sebab itu saya mahu kembangkannya lagi.

“Sekarang, saya tengah cuba campurkan bunyi pensol dengan muzik moden. Kalau boleh, saya nak lebih ramai anak muda tahu alat ini sebahagian daripada warisan kita,” ujarnya.

Kini, pemuda dari Ipoh itu bukan sahaja pandai bermain pensol, malah mampu menghasilkan alat tersebut dengan tangannya sendiri.

Proses pembuatannya tidak semudah yang disangka kerana setiap buluh perlu dipilih dengan teliti agar bunyinya nyaring dan merdu.

Biasanya, mereka menggunakan buluh lemang kerana teksturnya sesuai untuk menghasilkan nada lembut dan stabil.

Noah turut menjelaskan, cabaran utama ketika bermain alat itu adalah mengawal pernafasan kerana pensol ditiup menggunakan hidung.

“Pemain perlu tahu cara mengatur nafas agar bunyi tidak terputus. Kalau ada asma memang susah sikit nak main alat muzik ini.

“Selain itu, bentuk hidung pun memainkan peranan kerana perlu cari posisi tiupan yang sesuai,” katanya.

Menariknya, Noah pernah membuat persembahan dalam satu penggambaran filem bertemakan sejarah di kawasan Hulu Langat, selain aktif menyertai kumpulan sewang di kampungnya.

Minat Noah terhadap pensol turut menarik perhatian rakan-rakan daripada kaum lain kerana dia sering membawa alat muzik itu bersamanya ke mana sahaja.

Menurutnya, ada rakan Melayu dan Cina yang bertanya cara bermain pensol serta jenis buluh digunakan.

Bagi Noah, keterbukaan itu satu perkembangan positif kerana menunjukkan bahawa muzik tradisional Orang Asli kini mampu merentasi sempadan kaum.

“Saya sering bawa pensol ke mana sahaja dan akan luangkan masa sejam sehari untuk bermain bagi mengasah kemahiran.

“Ada kawan-kawan bukan dalam kalangan Orang Asli cuba bermain alat muzik ini, selalunya saya akan ajar mereka asas. Saya gembira lihat mereka berminat untuk belajar pensol,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN