INOVASI datang daripada gabungan kejuruteraan mekanikal, sains dan kecerdasan buatan (AI) dalam membentuk landskap teknologi moden.
Penggunaan teknologi dapat membantu manusia menyempurnakan pekerjaan dan melaksanakan tugas sukar sama ada di darat, udara atau lautan,
Bagi membantu tugasan di kawasan perairan, syarikat yang berpangkalan di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat, Pliant Energy Systems telah membangunkan robot amfibia dikenali sebagai C-Ray.
Robot tersebut diwujudkan untuk melakukan transformasi terhadap cara pergerakan robotik dengan kemampuan interaksi di pelbagai permukaan sama ada di darat, permukaan air atau dasar laut.
Direka untuk bergerak secara senyap dan cekap, robot tersebut menggunakan sistem daya tujahan beralun (undulating propulsion).
Dibina dengan sayap fleksibel yang meniru pergerakan hidupan laut, maka C-Ray mampu mencapai mobiliti tinggi dalam keadaan muka bumi kompleks.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pliant Energy Systems, Benjamin Pietro Filardo, robot C-Ray dibangunkan berdasarkan sistem pendorong yang meniru pergerakan hidupan laut dengan menggunakan bateri boleh dicas semula.
“Robotik marin ini meniru cara makhluk akuatik bergerak supaya lebih cekap dan mudah disesuaikan dengan pelbagai persekitaran.
“C-Ray menyokong pelbagai misi seperti pemantauan alam sekitar, pemeriksaan infrastruktur, operasi mencari dan menyelamat serta aplikasi ketenteraan tanpa pemandu,” katanya memetik Science Engineering.
Kapasiti sensor multimodal serta reka bentuk modular menjadikan C-Ray sebagai robot serba boleh untuk operasi autonomi atau kawalan jauh.
Robot tersebut menggunakan sistem gerakan sayap atau sirip fleksibel yang beralun seperti cara ikan pari, sotong dan anjing laut berenang.
“Sistem pergerakan ini memberi kelebihan besar untuk operasi pengawasan atau penerokaan di bawah laut yang memerlukan kerahsiaan tinggi seperti urusan ketenteraan.
“Berbeza daripada robot beroda atau berkaki, C-Ray tidak terhad kepada permukaan rata kerana struktur elastiknya membolehkan meluncur di atas ais, pasir, lumpur atau batu tidak stabil.
“Dalam air pula, sistem pendorong fleksibel menjana daya tujahan yang lebih efisien berbanding kipas atau kincir angin (baling-baling) konvensional.

“Ini sekali gus menjadikan ia ideal untuk misi marin yang panjang dengan penggunaan tenaga minimum,” kata Filardo.
Tambahnya, C-Ray merupakan kenderaan empat sirip yang sangat mudah dikawal dengan keupayaan mengimbas kapal selam dan memeriksa periuk api laut secara senyap.
Ia juga berfungsi untuk menghantar peluru ketenteraan atau bekalan perubatan semasa menjalankan misi di kawasan pesisir pantai.
“Robotik ini juga mampu memerhati beruang kutub bersama anak-anaknya tanpa perlu menakutkan haiwan itu dengan kehadiran manusia.
“Komunikasi tanpa wayar semasa berada di permukaan air membolehkan kawalan dan rakaman dilakukan secara navigasi masa nyata dari jarak selamat.
“Ia juga mampu bergerak melalui perairan yang dipenuhi tumbuhan, sekali gus dapat mengurangkan kerosakan rumpai laut dan gangguan terhadap lapisan sedimen,” katanya.
C-Ray juga dapat mengesan halangan, menyesuaikan laluan dan menilai keadaan persekitaran, selain mampu digerakkan secara autonomi penuh.
Menariknya, robot itu mampu melaksanakan misi tanpa intervensi manusia, sementara mod separa autonomi pula dikendalikan oleh operator yang dikawal dari jarak jauh.
Menerusi laman rasmi Pliant Energy, reka bentuk mekanikal yang ringan dan aerodinamik dapat mengurangkan penggunaan tenaga, sekali gus menjadikan robot itu lebih lestari dan mudah diselenggara berbanding robot marin konvensional.
Dalam mod autonomi penuh, C-Ray mampu melaksanakan misi tanpa intervensi manusia.
Sementara dalam mod separa autonomi, operator boleh memantau robot melalui antara muka kawalan jauh yang intuitif.
“Dalam penyelidikan marin, C-Ray boleh digunakan untuk mengumpul data ekologi, memantau terumbu karang dan menilai kesan perubahan iklim terhadap ekosistem laut.
“Dalam sektor industri, ia sesuai bagi pemeriksaan paip minyak dan gas, kabel dasar laut serta struktur pelabuhan yang sukar dicapai oleh manusia.
“Bagi keselamatan dan pertahanan, C-Ray menawarkan kelebihan strategik dalam misi tinjauan pantai, pengesanan periuk api bawah laut serta penghantaran muatan ringan di kawasan berisiko tinggi.
“Keupayaannya untuk beroperasi tanpa menghasilkan bunyi mekanikal yang ketara menjadikan C-Ray aset penting bagi operasi rahsia,” menurut laman tersebut.
Selain itu, struktur modular C-Ray membolehkan pelbagai konfigurasi sensor dan beban misi dipasang bergantung pada keperluan pengguna.
Ia juga dilengkapi dengan spesifikasi sonar, kamera beresolusi tinggi, penderia kimia dan sistem komunikasi tanpa wayar.
Dalam konteks pengurusan bencana, robot itu boleh digunakan untuk meninjau kawasan banjir, membantu operasi mencari mangsa atau menilai kerosakan infrastruktur selepas taufan.
Keupayaan melintasi air cetek dan daratan berlecak menjadikan C-Ray jauh lebih berguna berbanding dron udara atau kenderaan darat tradisional.
Meskipun hampir sedekad sejak dibangun pada 2016, namun C-Ray masih dalam peringkat pembangunan ujian lanjutan (advanced prototype stage).
Ia masih belum menjadi produk komersial penuh atau sistem operasi rasmi yang digunakan secara meluas.
Namun, Filardo yakin bahawa Pliant Energy Systems mampu menggunakan teknologi dalam C-Ray untuk menjadi asas kepada generasi baharu robot amfibia.
“Penyelidikan lanjutan untuk menambah baik kecekapan bahan, meningkatkan ketahanan dalam tekanan tinggi dan memperluas kebolehan integrasi AI untuk navigasi autonomi sepenuhnya.
“Kami ingin mewujudkan robot yang dapat menyesuaikan diri secara organik terhadap pelbagai bentuk permukaan.
“Robot ini diharap menjadi robotik marin amfibia masa depan, dengan kecekapan tenaga, kecerdasan kawalan dan keanjalan mekanikal dapat mencipta mobiliti seperti haiwan sebenar,” ujar Filardo.















