KUALA LUMPUR – Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong terpaksa akur melepaskan kejuaraan selepas sekadar meraih pingat perak dalam acara 10 meter (m) platform wanita pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Pandelela menamatkan saingan dengan catatan 244.60 mata untuk menamatkan saingan di tempat kedua, di belakang wakil Atlet Neutral (NAB), Ekaterina Beliaeva yang muncul juara dengan kutipan 252.20 mata.
Pingat gangsa pula menjadi milik penerjun muda negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj selepas mengutip 225.60 mata hasil terjunan bertenaga pada pusingan terakhir.
Eilisha, 20, mengakui masih ada ruang penambahbaikan namun tetap gembira menamatkan kejohanan di podium.
“Apa pun saya bangga dengan diri sendiri dan berpuas hati dengan prestasi saya hari ini. Kekurangan sedikit itu mungkin berlaku pada aksi final, tetapi saya tidak menghukum diri sendiri. Saya rasa lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
Sebagai rekod, Pandelela sebelum ini memenangi emas dalam acara sama pada edisi 2024 dengan kutipan 252.80 mata.
Sementara itu, dalam acara 3m papan anjal lelaki, penerjun berpengalaman negara, Muhammad Syafiq Puteh turut berpuas hati meskipun terlepas emas pada saat akhir.
Syafiq yang mendahului lima pusingan awal terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan kutipan 362.95 mata selepas dipintas wakil NAB, Gennaddi Fokin yang mengungguli saingan dengan 374.60 mata.
“Prestasi hari ini, untuk final, Alhamdulillah saya dapat buat lebih baik daripada pusingan awal. Cuma ada satu atau dua terjunan yang tidak begitu menjadi dan itu sedikit mengecewakan saya.
“Saya rasa terjunan kelima menjadi punca utama apabila saya buat sedikit kesilapan dan ketinggalan mata dengan atlet Rusia. Itulah sebabnya saya tidak dapat mengekalkan kedudukan di depan,” katanya.
Tempat ketiga menjadi milik penerjun muda negara, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim yang mencatat 338.95 mata untuk membawa pulang gangsa. KOSMO! ONLINE














