fbpx
Nan menggunakan kayak Hobbie 360 panjang 12 kaki untuk mengendap sarang kelisa.

Memburu ikan kelisa menggunakan kayak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ikan kelisa dengan profilnya bersisik besar berkilau seperti ‘perisai naga’ menyebabkan ada peminat ikan hiasan menggelar ia sebagai dragon fish.

Di Semenanjung Malaysia, ikan kelisa ini boleh ditemui di beberapa sistem sungai dan tasik yang masih belum tercemar seperti sesetengah perairan di Perak, Kedah, Pahang serta Johor

Namun akibat pembangunan dan penangkapan berlebihan, ikan kelisa liar kini semakin sukar ditemui.

Ini menjadikan setiap tangkapan di habitat semula jadi satu detik istimewa yang jarang berlaku.

Ikan ini menjadi idaman ramai pemancing terutamanya jika dapat digoda dan ditewaskan dengan gewang serta set mengilat.

Bagi pengilat berpengalaman, menewaskan kelisa bermakna menguji kesabaran dan kehalusan gaya persembahan gewang.

Ia tidak menyerang dengan ganas seperti toman, tetapi memilih saat yang tepat untuk melakukan satu serangan pantas, padu serta penuh gaya.

Atas sebab itulah ikan ini menjadi salah satu bucket list bagi Shamsul Azmi Azman atau lebih dikenali dalam kalangan pemancing negara sebagai Nankairel.

Akhirnya, apa yang dihajati Nan selama ini tertunai juga.

Beberapa bulan lalu, Nan bersama Ajak Ozmy, Botak dan Dave Kayak Fishing telah mengatur satu trip berkayak untuk mengilat ikan kelisa di satu tasik terletak di Johor.

Konvoi itu bergerak dari Rawang, Selangor ke Tangkak untuk singgah mengambil bekalan dan menyiapkan kayak, sebelum terus menuju ke lokasi.

Kayak

Tidak seperti kebanyakan pengilat yang selalu beraksi dari tebing atau menggunakan bot berenjin, sebaliknya Nan dan rakan-rakannya memilih menggunakan kayak.

Sebab utama adalah kerana karakter kayak itu sendiri yang bergerak secara senyap dan dapat meluncur di air cetek.

Kayak juga boleh memasuki kawasan sempit, dan ia amat penting dalam misi mengilat ikan kelisa di habitatnya yang bereba.

Selain itu, pendekatan mengilat yang senyap juga dapat mengurangkan peratusan ikan kelisa daripada menjadi terlalu culas.

Senjata

Nan menggunakan set up joran berkekuatan 6-14 paun (lb) dengan tali utama Ozmy Dragon 30lb diisi di dalam kekili Shimano Antares MD HG dan perambut Shimano Ocea 40lb.

Pilihan gewang yang menjadi senjata utamanya adalah soft plastic (SP) Baby Silencer Ozmy berwarna chartreuse kerana air di tasik ini jernih tetapi gelap kehitaman disebabkan dasarnya bergambut.
Gewang warna ini lebih jelas kelihatan di dalam air sebegini.

SP yang digunakan bersama mata kail Mustad Assault Alpha Point saiz 4 tersebut dimainkan dengan gaya twitch and fall.

Ia dibiarkan tenggelam perlahan sebelum ‘dijentik’ lembut dengan twitch sedikit tip joran.

Ini bagi meniru pergerakan anak ikan yang terpisah daripada kawanannya.

Lokasi kelisa tipikal, ada kawasan lapang, sedikit berumput dan bersamai serta bereba kayu di dasar.

Ikan kelisa terkenal dengan sifat berhati-hati dan sensitif terhadap apa sahaja pergerakan di persekitarannya. Gaya sebegitu sering menjadi ‘kunci’ untuk menggodanya.

Dalam diam, ikan purba itu kebiasaannya akan mengekori gewang sejauh beberapa meter sebelum membuat keputusan untuk menyambar. Itulah detik yang sentiasa mendebarkan setiap pengilat.

Kena

Sejak dari pagi hari lagi, pelbagai lokasi di tasik itu telah dicuba
Nan, ternyata ikan kelisa ada.

Hal ini kerana sudah beberapa kali gewangnya disapa kelisa tetapi tidak leka.

Ada sekali betul-betul hook-up, namun ikan berjaya membuang gewang dengan melakukan beberapa kali lompatan.

Tidak berputus asa, dia memasuki satu kawasan yang lapang dengan juntaian dahan pokok mencecah air dan bereba kayu padat di bawahnya.

SP dihantar terus ke lokasi berpotensi tersebut, dan dibiarkan tenggelam perlahan-lahan.

Belum pun ia mencecah dasar, terasa satu rentapan yang kuat dan diikuti dengan lonjakan seekor kelisa berkilau di bawah cahaya matahari pagi.

Pertarungan itu berlangsung hanya beberapa minit sehinggalah ia berjaya ‘dipam’ rapat
ke kayak.

Perasaan panik dibuang tepi, dan Nan membiarkan ikan lelah barulah ditangguk.
Akhirnya, ia berjaya juga didaratkan.

Khazanah ikan asli

Kelisa yang dinaikkan bersaiz sederhana, namun penangan getaran pertarungannya kekal selama-lamanya dalam ingatan Nan.

Setelah reda perasaan gemuruh dan ikan diukur, ia dilepaskan semula dengan selamat.

Kelisa itu mungkin sudah kembali ke lubuknya semula. Namun bagi Nan, hari itu cukup sempurna.

Ini kerana, apa yang diimpikannya bukan sekadar spesies ikan, sebaliknya kedamaian yang hanya difahami oleh pemancing kental dan sabar menunggu sambil cuba bersatu dengan alam.

Rakan seperjuangannya pada trip yang sama juga kena seekor kelisa.

Nan mengakhiri trip petang itu dengan seekor lagi ikan kelisa yang saiznya kecil sedikit daripada sesi sebelah pagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN