fbpx
Mohamad Azhar menunjukkan Porsche 911 GT3RS dan Maybach yang dirampas Kastam Selangor. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Sorok Mercedes-Benz, Porsche lebih RM1 juta dalam gudang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Helah sebuah gudang tamat lesen menyembunyikan 14 buah kenderaan mewah import tanpa pembeli sejak lima bulan lalu terbongkar selepas diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Shah Alam baru-baru ini.

Antara kenderaan yang dirampas dalam operasi pada 9 September lalu adalah Porsche 911 GT3RS, Mercedes-Benz S680 Maybach dan GLA35, Lexus RX300 dan Toyota Harrier.

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, siasatan mendapati premis itu masih beroperasi walaupun lesen telah tamat tempoh sejak lima bulan lalu. Katanya, setiap gudang kenderaan diberikan lesen selama 48 bulan bagi tujuan pengoperasian.

“Kesemua kenderaan adalah kategori ‘recond’ dan tidak mempunyai pembeli. Sebanyak 14 kenderaan yang disita itu bernilai RM3.34 juta termasuk cukai,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kenderaan termahal yang dirampas ialah Mercedes-Benz S680 Maybach berharga RM752,000, manakala Porsche 911 GT3 RS pula dianggarkan RM554,000.

Dalam pada itu, Mohamad Azhar berkata, pihaknya turut merampas 1,314 liter minuman keras bernilai RM268,189 termasuk cukai di Zon Bebas Pelabuhan Barat pada 6 Oktober lalu. Siasatan mendapati barangan dari sebuah negara Eropah itu masuk ke negara ini pada 14 September lalu.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan (d) Akta Kastam. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000, mana lebih tinggi atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI