PETALING JAYA – Rakyat Amerika Syarikat (AS) meluahkan rasa kagum terhadap keindahan dan kebersihan jalan raya di Malaysia.
Menerusi perkongsian hantaran oleh Pembantu Khas Presiden Amerika Syarikat, Margo Martin di aplikasi X, berkongsi video perarakan kenderaan rasmi presiden dalam perjalanan menuju ke Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Untuk rekod, Trump tiba di Malaysia semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Rata-rata warga AS yang menonton video tersebut memuji keadaan jalan raya Malaysia yang teratur dan bersih.
“Ini macam babak pembukaan dalam filem Independence Day,” kata Mike Kearney.
“Lebuh raya tersebut kelihatan jauh lebih bersih daripada beberapa lebuh raya dan jalan utama di AS,” kata Chris.
Video berkenaan dirakam melalui Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Putrajaya, memendekkan masa perjalanan dengan laluan pantas.
Hantaran tersebut turut mencuri perhatian rakyat tempatan yang berbangga dengan pujian tersebut.
Pujian warga AS terhadap keindahan jalan raya Malaysia dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan tidak langsung terhadap usaha kerajaan, sekali gus menonjolkan imej positif landskap bandar Malaysia.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Presiden AS berkenaan telah meninggalkan Malaysia pagi tadi menuju ke Jepun bagi meneruskan siri lawatan enam hari ke tiga negara Asia. – KOSMO! ONLINE














