NEW DELHI – Sebuah pesawat Air India terpaksa berpatah balik selepas melanggar kawanan burung sejurus ia berlepas, lapor stesen penyiaran NDTV.
Pesawat itu berlepas ke Delhi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dr. Babasaheb Ambedkar, negeri Maharashtra kelmarin.
Jurucakap syarikat penerbangan Air India berkata, kapal terbang itu mendarat dengan selamat sebelum digantung operasi untuk pemeriksaan dan penyelenggaraan.
“Penerbangan AI466 melanggar kawanan burung sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dr. Babasaheb Ambedkar.
“Kru memutuskan untuk berpatah balik sebagai langkah berjaga-jaga dan mengikut prosedur operasi standard.
“Tiada kecederaan dilaporkan. Semua penumpang diturunkan dan diberikan bantuan serta makanan,” kata jurucakap itu. – AGENSI














