SEBAGAI pencinta pemandangan indah dan pengalaman memandu yang menenangkan, percutian di Eropah merupakan sesuatu yang sudah lama saya impikan.
Seronok rasanya impian itu menjadi nyata apabila saya dapat bercuti bersama dua rakan lain ke Eropah pada musim luruh tahun lalu.
Perjalanan bermula dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Munich, Jerman.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Munich, suasana Eropah segera terasa. Udaranya dingin, sistem pengangkutan cekap dan seni bina modennya tersusun.
Dari lapangan terbang, kami mengambil kereta sewa. Ini menjadi pengalaman pertama kami memandu di negara orang.
Destinasi pertama kami kunjungi adalah BMW Welt dan BMW Museum yang terletak kira-kira 35 kilometer dari lapangan terbang.
Di situ, kami berpeluang melihat secara dekat evolusi jenama automotif Jerman yang cukup terkenal itu.

Bangunan futuristiknya menempatkan koleksi kereta klasik, model konsep dan pameran interaktif yang menarik.
Selesai menghayati sejarah BMW, kami menikmati hidangan tengah hari di Restoran Bavarie by Kafer yang menghadap ke arah bandar Munich.
Seterusnya, perjalanan diteruskan ke pusat bandar Munich yang menawan.
Kawasan Marienplatz menjadi tumpuan utama dengan menara jam bersejarah, kafe yang meriah dan suasana klasik Eropah.
Kami juga sempat ke Viktualienmarkt yang merupakan pasar terbuka paling popular di Munich.
Ia merupakan lokasi penduduk tempatan membeli barangan segar seperti bunga, madu dan pastri.
Sempat juga kami cuba dessert popular di situ iaitu ‘apple strudel’ yang enak sambil melihat orang ramai lalu-lalang.
Keesokan harinya, perjalanan diteruskan ke arah selatan menuju Garmisch-Partenkirchen iaitu sebuah bandar pergunungan yang terletak di kaki gunung Zugspitze.

di negara orang.
Pemandangan sepanjang laluan sungguh memukau. Memandu juga tidak terasa letih kerana dapat menyaksikan keindahan alam semula jadi.
Dari sempadan Jerman, kami meneruskan perjalanan memasuki sebuah lagi negara yang ada dalam wish list saya iaitu Austria.
Kami melalui lebuh raya yang penuh ketenangan menuju ke Innsbruck dengan berlatarbelakangkan pergunungan cantik. Kami memilih menginap di sebuah Airbnb berdekatan yang menyajikan suasana desa permai.
Biarpun harganya agak mahal, namun kami rasa sangat berbaloi kerana pengalaman sebegitu tidak ada di Malaysia.
Inilah peluang kami untuk merasai suasana musim luruh di bumi Eropah.














