PETALING JAYA – Langkah Kerajaan MADANI menaikkan had kelayakan subsidi petrol RON95 bagi pemandu e-hailing, daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) merupakan keputusan yang memberi kelegaan besar kepada ribuan penggiat industri.
Ia bukan sahaja menggambarkan keprihatinan terhadap beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat, tetapi juga menegaskan komitmen untuk memastikan sistem subsidi bersasar benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
Sejak pelancaran BUDI95, kerajaan memberi tumpuan supaya bantuan bahan api diagihkan secara adil dan berkesan, berdasarkan penggunaan sebenar serta keperluan penerima, sambil mengurangkan ketirisan.
Lebih 53,900 pemandu e-hailing sepenuh masa kini menikmati manfaat daripada penambahan ini, hasil semakan silang data antara Kementerian Kewangan (MoF) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Bagi pemandu e-hailing, petrol merupakan nadi operasi harian kerana setiap liter penggunaan akan memberi impak terus kepada pendapatan mereka.
Dengan pemberian subsidi tambahan ini, kerajaan bukan sahaja membantu mengurangkan kos operasi mereka, malah memperkukuh ekosistem ekonomi digital.
Menurut seorang pemandu e-hailing, Mohd. Azhar Md. Zain, 40, dia mula menyedari penambahan had kelayakan BUDI95 pada hujung minggu baru-baru ini.
Jelasnya, dia memandu e-hailing secara intensif pada setiap hujung minggu.

“Bagi saya secara peribadi kelayakan 600 liter sebulan itu mencukupi. Saya menggunakan Setel sebagai platform utama untuk mengisi petrol dan berdasarkan laporan bulanan yang dihantar aplikasi tersebut, penggunaan bulanan saya adalah sekitar 500 liter.
“Namun pada masa sama, pasti ada rakan-rakan lain yang memerlukan jumlah petrol lebih daripada itu memandangkan keperluan setiap orang pastinya berbeza-beza, juga bergantung kepada musim dan perayaan.
“Menjelang musim perayaan utama atau sebelum pembukaan sekolah misalnya, ramai pemandu akan bekerja lebih keras berbanding kebiasaan dan saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan daripada pemandu untuk menaikkan had kelayakan BUDI95 mereka sekiranya ada keperluan,” katanya.
Tambah Mohd. Azhar, beliau yakin kerajaan mendengar suara dan cadangan daripada rakyat berdasarkan pelbagai penambahbaikan yang telah dilaksanakan untuk program BUDI95 setakat ini.
Isnin lalu, MoF mengumumkan siling penggunaan BUDI95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa telah dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan.
Selain itu, kelayakan BUDI95 telah diaktifkan kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak, berdasarkan data yang diperoleh daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi kerajaan negeri berkaitan.
Ia susulan pengaktifan kelayakan buat pengguna bot di Sabah dan mereka yang berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) minggu lalu.
Pada masa sama, seramai lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menerima BUDI95, yang terdiri daripada pemandu baru mendapat lesen (11,200 orang) dan pemandu yang telah memperbaharui lesen (260 orang).

Ini menjadikan keseluruhan rakyat Malaysia yang menerima manfaat BUDI95 kini berjumlah lebih 16 juta orang.
Sementara itu, seorang lagi pemandu e-hailing, Zaini Husin, 59, berkata, dia sangat berterima kasih akan keprihatinan kerajaan yang telah menambah had kelayakan BUDI95 mereka.
Jelasnya, jumlah kelayakan itu boleh dikatakan mencukupi kerana berdasarkan penggunaan semasanya sekarang, 600 liter petrol membolehkannya memandu sejauh 14,000 kilometer.
“Sudah tentu ia bergantung kepada jenis kenderaan digunakan dan saya amat bersyukur dengan bantuan yang diberikan.
“Kerajaan hari ini banyak mendengar suara kami, namun bukan semua isu dapat diselesaikan sekali gus, sebaliknya pasti memerlukan masa untuk pertimbangan sewajarnya.
BUDI95 bukan sekadar satu skim bantuan subsidi bersasar bahan api, tetapi satu manifestasi kecekapan pentadbiran dan pendekatan berasaskan data.
Seperti disebut oleh prinsip MADANI, ‘tiada rakyat tercicir’, peluasan manfaat BUDI95 membuktikan bahawa kerajaan tidak hanya sekadar mendengar, tetapi cekap bertindak demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Kerajaan turut menyediakan portal rasmi BUDI MADANI dengan ciri semakan sejarah transaksi melalui MyDigital ID, sekali gus menjamin keselamatan data dan ketelusan. -KOSMO! ONLINE














