KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan kes rogol melibatkan mangsa bawah umur di negeri ini yang kebanyakannya isu berulang sekali gus perlu ditangani secara menyeluruh.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, sebanyak 70 kes rogol termasuk 10 sumbang mahram direkodkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
“Sebanyak 50 kes rogol dan lima kes sumbang mahram membabitkan mangsa bawah umur.
“Sebagai perbandingan, 58 kes melibatkan mangsa bawah umur daripada keseluruhan 70 kes rogol dan sumbang mahram yang berlaku,” katanya selepas merasmikan program Keselamatan Jalan Raya Pusat Pengajian Tinggi Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.
Mohd Khairi berkata, mangsa paling muda direkodkan berusia lima tahun dengan suspek adalah individu dikenali iaitu sepupu berusia 14 tahun.
Katanya, trend melibatkan remaja bawah umur masih tinggi dan pihak polis akan terus mengekang jenayah tersebut menerusi penguatkuasaan tegas dan siasatan yang menyeluruh. – KOSMO! ONLINE














