COMO, Itali – Pengendali Como, Cesc Fabregas berbangga dengan persembahan anak-anak buahnya susulan kemenangan bersejarah 2-0 ke atas bekas juara Itali, Juventus dalam aksi Serie A di Giuseppe Sinigaglia semalam.
Kemenangan itu melonjakkan Como ke tangga keenam dan memintas Juventus yang jatuh ke tangga ketujuh meskipun kedua-dua pasukan terikat 12 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Menariknya, ia adalah kejayaan pertama Como dalam tempoh 73 tahun ke atas Juventus selain turut mencatat kemenangan ketiga berturut-turut di laman sendiri buat kali pertama selepas 1986.
Bagaimanapun, kemenangan Como dicemari dengan kenyataan pengendali Juventus, Igor Tudor yang melabel mereka sebagai ‘kelab plastik’ disebabkan pengaruh wang untuk meraih kejayaan sekali gus menaikkan kemarahan Fabregas.
“Beliau (Tudor) menuduh saya membeli ramai pemain tetapi mungkin mereka (Juventus) tidak menerangkan perkara sebenar kepadanya.
“Tudor salah seorang jurulatih yang terdesak untuk menang di Juventus tetapi tidak kami. Jalan cerita Como berbeza,” kata bekas pemain tengah Arsenal, Chelsea dan Barcelona itu.
Dua gol Como dalam aksi itu diperoleh menerusi Marc Oliver Kempf dan Nico Paz yang kini sudah meledak empat jaringan daripada tujuh perlawanan Serie A ketika ini.
Sebagai rekod, Como dianggap antara kelab terkaya dalam kancah bola sepak Itali selepas dibeli oleh jutawan Indonesia, Robert Budi Hartono dan Michael Bambang Hartono pada 2019. – AGENSI














