MELAKA – Suspek kejadian seorang remaja perempuan cedera akibat dilibas menggunakan pisau ketika membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu, di sini semalam, diberkas polis malam tadi.
Lelaki berusia 20 tahun itu diberkas di rumahnya di kawasan Tangga Batu kira-kira pukul 11 malam oleh sepasukan anggota Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Menurut sumber, hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan menunjukkan sebilah pisau sepanjang kira-kira 27 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam serangan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Kosmo! malam tadi melaporkan seorang remaja perempuan cedera selepas dipercayai dilibas dengan objek tajam oleh individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling kira-kira pukul 4.45 petang.
Christopher berkata, akibat kejadian itu mangsa berusia 19 tahun yang bekerja sebagai operator kilang mengalami luka sepanjang kira-kira tujuh sentimeter di bahagian pinggang belakang.
Mangsa yang berasal dari Tangkak, Johor bagaimanapun mendakwa dia tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan sesiapa atau mengenali individu yang disyaki terlibat kerana baru tiga minggu bekerja di sebuah kilang di negeri ini. – KOSMO! ONLINE