fbpx
Ijid Landu (depan) bersama pegawai PGA semasa meninjau penugasan anggota pasukan tersebut di pangkalan haram Syed Agil, Rantau Panjang baru-baru ini. – Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI

Dua pangkalan haram ‘laluan’ seludup RON95

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Dua pangkalan haram, Kedap dan Miji yang terletak di atas tanah persendirian di tebing Sungai Golok masih menjadi lokasi penjenayah untuk menyeludup RON95 ke Thailand walaupun ia antara dalam pe­rancangan pihak berkuasa untuk dirobohkan.

Pemangku Komander Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, kedua-dua pangkalan haram itu dijadikan lokasi tumpuan penyeludup menaiki bot sebelum membawa minyak petrol ke negara jiran.

Menurutnya, sejak pelaksa­naan Budi Madani 95 (Budi95) pada 30 September lalu, seba­nyak 12 kes penyeludupan minyak petrol dikenal pasti di kedua-dua kawasan tersebut.

Difahamkan, minyak RON95 seludup dijual di kebanyakan lokasi di Selatan Thailand berharga antara RM3.70 hingga RM4 berbanding RM2.60 seliter di negara ini. Harga di stesen minyak pula mencecah RM5.60 seliter.

“Daripada kesemua kes itu, hanya dua tangkapan penyeludup minyak petrol dijalankan sehingga 16 Oktober lalu.

“Jumlah itu mencatatkan penurunan sebanyak lapan peratus apabila sebanyak 13 kes dengan sembilan tangkapan penyeludup petrol di kedua-dua pangkalan haram itu bermula 15 hingga 29 September lalu,” kata kepada ­Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ijid Landu berkata, siasatan lanjut mendapati, pangkalan haram di atas tanah persendirian menjadi tumpuan penyeludup untuk membawa barangan seludup dari negara jiran.

Katanya, kawasan itu berada di tanah persendirian apabila ia mempunyai struktur binaan dan jeti.

“Pangkalan haram itu juga terletak berhampiran dengan kawasan parkir dan kenderaan untuk memudahkan urusan membawa keluar barangan seludup.

“Sindiket penyeludupan dipercayai menggunakan kenderaan yang diubah suai untuk mengisi petrol RON95 melebihi kapasiti. Minyak tersebut kemudian diisi di dalam tong sebelum dibawa ke pangkalan haram Kedap dan Miji untuk diseludup ke Thailand,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ijid Landu berkata, pangkalan haram Pohon Jambu di sini, merekodkan sebanyak 12 kes penyeludupan selain lima kes rentas sempadan sepanjang tahun ini.

Tambahnya, selain itu, seba­nyak 14 kes penyeludupan pelbagai barangan dikesan di pangkalan haram Kedap dan 13 kes di pangkalan haram Lan Bundle di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN