fbpx
MAHANI menunggu pelanggan yang mahu menjual semula barangan kemas mereka di Batu Enam, Kuala Nerus semalam.

Emas RM625 segram, kedai tetap diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Kenaikan mendadak harga emas sehingga mencecah RM625 segram telah mendorong ramai penggemar atau ‘pemain-pemain’ emas di daerah ini serta di Kuala Terengganu mula menju­al barang kemas mereka untuk mendapatkan wang tunai segera.

Tinjauan Kosmo! di beberapa kedai emas di kedua-dua daerah itu semalam mendapati, rata-rata pengusaha terlibat terpaksa menyediakan wang tunai lebih RM100,000 untuk memenuhi permintaan pelanggan tersebut.

Pemilik Kedai Emas & Permata Batu Enam, Mahani Mohammed, 67, berkata, minat orang ramai untuk menjual barangan kemas terbabit didorong kenaikan harga komoditi terbabit sejak dua ming­gu lalu.

“Ramai orang datang jual balik emas bagi mendapatkan tunai segera sejak dua minggu lalu.

“Saya perlu menyediakan lebih RM100,000 sehari bagi menampungnya. Situasi harga emas semasa naik terlalu pantas ini bagi saya agak luar biasa,” kata­nya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Mahani berkata, harga emas 916 diperdagangkan semalam pada harga RM546 segram, manakala RM625 bagi emas 999.

Pegawai Pemasaran Kedai Emas Ariana Gold, Sarah Natasya Ramli, 25, berkata, trend peminat emas membeli sebagai simpanan merosot mendadak sejak kenaikan harga komoditinya di pasaran dunia sejak akhir-akhir ini.

“Kebanyakan pelanggan kami sejak kebelakangan ini terdiri daripada bakal pengantin yang membeli cincin, gelang dan rantai sebagai hantaran.

“Ramai juga membeli awal walaupun tarikh pernikahan mereka lewat lagi sama ada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan kerana risau harga emas akan melonjak lagi dalam masa terdekat.

“Trend harga emas naik ini akan berterusan hingga RM700 segram dalam masa terdekat berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan perayaan Deepavali,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­langgan, Ruslina Abdul Ghani, 53, berkata, dia mengambil keputusan menjual semula seutas ge­lang miliknya selepas mendapati harga emas meningkat ketara berbanding sewaktu dibeli.

“Saya jual 62.2 gram sudah boleh dapat lebih RM31,000 sedangkan dahulu masa beli tak sampai RM20,000. Memang berbaloi sebab harga sekarang tinggi,” katanya.

Di Kota Bharu, ramai menjual barang kemas lama untuk ditukar kepada yang baharu sejak dua minggu lalu berikutan pe­ningkatan harga emas terpakai iaitu RM502 segram.

Pemilik Kedai Emas Dhiya Gold House, Norsyazwani Ismail, 40, berkata, walaupun harga semasa emas naik, kedainya sentiasa didatangi pelanggan yang hendak menjual emas lama kepada barangan kemas yang baharu.

“Lebih 10 pelanggan termasuk dari Thailand datang ke premis di Pasar Besar Siti Khadijah ini untuk menjual emas lama. Harga emas hari ini (semalam) mence­cah RM537.5 segram berbanding semalam (kelmarin) iaitu RM533.

“Peningkatan itu dilihat berlaku sejak awal bulan ini. Biasa­nya orang ramai terutama wa­nita menjual emas lama semasa harga meningkat,” katanya.

Ujarnya, kebiasaannya pelanggan yang datang membeli emas semasa harga tinggi terdiri daripada ‘pembeli panik’ kerana bimbang harga emas terus naik.

“Meskipun harganya me­ningkat sejak kebelakangan ini, peniaga tidak bimbang kerana pelanggan tetap ada untuk me­nukar barang kemas lama.

“Ini peluang baik buat pemilik menjual emas. Kebiasaannya, harga emas turun dan naik, namun peningkatan ketara dilihat berlaku sejak dua minggu lalu.

“Peniaga dari Thailand kerap ke Kelantan menjual barang kemas lama kerana harganya lebih mahal berbanding menjual di negara mereka,” katanya.

Jelasnya, mereka juga meminati emas di Kelantan kerana pelbagai corak baharu yang menjadi pilihan.

“Kenaikan harga emas dipercayai berpunca kawalan harga emas dunia. Dikatakan China sedang mengumpul emas dan nilai mata wang utama dunia pula menggunakan dolar,” katanya.

Seorang pekerja kedai emas, Normalina Ahmad, 52, berkata, terdapat dua atau tiga pelanggan datang membeli emas baharu di premisnya setiap hari.

“Harga emas terpakai mence­cah RM502 segram sudah tinggi berbanding sebelum ini. Saya rasa harga emas tidak akan turun, malah makin naik,” katanya.

Harga emas di pasaran tunai meningkat 1.8 peratus kepada AS$4,106.48 (RM17,380) untuk satu auns dan mencapai paras tertinggi sepanjang masa iaitu AS$4,116.77 (RM17,412).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN