TEMERLOH – Kerajaan berada di peringkat akhir memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti Buli sebagai mekanisme baharu menangani kes gangguan, kekerasan dan intimidasi secara lebih cepat, sulit serta berorientasikan pemulihan berbanding hukuman jenayah semata-mata.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tribunal itu akan merangkumi kes buli fizikal, emosi, mental, sosial, lisan dan siber, termasuk melibatkan kanak-kanak bawah 18 tahun di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Peranan tribunal berbeza daripada prosiding mahkamah kerana tidak tertumpu kepada sabitan kanun keseksaan atau hukuman penjara semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada unsur pemulihan, denda dan kesedaran masyarakat.
“Kes jenayah seperti bawah Seksyen 507 tetap ke mahkamah tetapi tribunal akan khusus kepada definisi buli dan bidang kuasanya tersendiri. Ia lebih cepat, sulit, tidak membebankan prosedur dan lebih mendidik,”katanya dalam sidang akhbar pada Program Town Hall AntiBuli:#GenerasiTanpaBuli Peringkat Pantai Timur di Dewan Tun Razak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di sini hari ini.
Azalina menjelaskan tribunal itu tidak hanya terikat kepada sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), sebaliknya turut meliputi institusi lain seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), sekolah agama, swasta dan pusat pendidikan berasrama kerajaan.
Katanya, banyak pandangan serta kritikan dikemukakan pentadbir sekolah, namun tribunal dirangka supaya tidak membebankan pengurusan, sebaliknya mengambil kira peranan ibu bapa dan komuniti.-KOSMO! ONLINE.