GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli di Pos Gob di sini terpaksa menjadikan surau dan dewan serbaguna bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan berikutan fasiliti sedia ada rosak sejak lebih 10 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Gob, Hady Liman berkata, sebelum ini perkampungan itu mempunyai sebuah balai rawatan yang dibina Kementerian Kesihatan (KKM), namun rosak kerana terletak berhampiran tapak mendarat helikopter.
“Kita harap pihak berwajib dapat menyediakan balai rawatan baharu untuk kemudahan penduduk yang berdepan kesukaran untuk ke Klinik Kesihatan Kuala Betis yang terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari sini dan perlu melalui jalan tanah,” katanya.
Bagi penduduk, Reni Abainch, 47, pembinaan balai rawatan baharu itu merupakan satu keperluan untuk kemudahan penduduk dan petugas kesihatan.
“Fasiliti yang dibina sebelum ini sudah lama terbiar dan tidak dapat digunakan kerana bumbungnya tercabut, manakala cermin tingkap pecah.
“Jadi kami berharap balai rawatan baharu yang dilengkapi katil, kipas dan tandas dapat dibina di kawasan bersesuaian untuk kemudahan penduduk dan petugas kesihatan yang datang ke sini secara berkala,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pembinaan balai rawatan baharu itu perlu dilaksanakan secepat mungkin.
“Pos Gob adalah pos yang paling jauh dan penduduk sukar untuk keluar mendapatkan rawatan. Kita hargai usaha KKM yang datang secara bulanan untuk memberikan rawatan dan penduduk juga berharap dapat menerima rawatan dalam keadaan selesa,” katanya.














