GLASGOW – Legenda Liverpool, Steven Gerrard tidak akan kembali mengendalikan Rangers selepas didakwa enggan meneruskan perbincangan untuk menggisi kekosongan ditinggalkan Russel Martin.
Difahamkan, Rangers telah mengadakan rundingan konstruktif dengan Gerrard yang pernah mengendalikan gergasi Scotland itu selama tiga tahun dari 1 Jun 2018 hingga 11 November 2021.
Bagaimanapun, Gerrard dikatakan belum bersedia untuk kembali ke bidang kejurulatihan buat masa ini terutamanya selepas bekas pemain tengah itu meninggalkan jawatannya dengan kelab Liga Pro Saudi, Al-Ettifaq awal tahun ini.
Ia pastinya memberikan tamparan besar buat Rangers yang tidak berada pada momentum terbaik apabila hanya mampu menang satu daripada tujuh aksi Liga Premier Scotland ketika ini.
Bukan itu sahaja, Rangers juga cuma mampu menang tiga daripada 12 perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan musim ini.
Ini bermakna Rangers perlu mengalihkan tumpuan mereka mendapatkan pengendali baharu dengan nama bekas pemain tengah Manchester United, Michael Carrick antara dikaitkan menggalas jawatan berkenaan.
Carrick ketika ini tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas dipecat oleh Middlesbrough pada Jun lalu.
Selain itu, bekas pengurus West Ham United, Graham Potter, Kieran McKenna (Ipswich Town), Ralph Hasenhuttl (Southampton), Gary O’Neil (Wolverhampton Wanderers) dan Danny Rohl (Sheffield Wednesday) antara nama lain turut dikaitkan. – AGENSI