KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa menelan hakikat cukup pahit apabila kempunan untuk merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Energia Areena sebentar tadi, bekas juara dunia itu akur tewas 18-21, 27-25, 17-21 kepada beregu England, Ben Lane-Sean Vendy dalam tempoh 76 minit.
Turun sebagai pilihan utama, langkah beregu No.2 dunia itu bagaimanapun sedikit terganggu apabila melakukan banyak kesilapan mudah sehingga memberi kelebihan kepada pemain lawan untuk mengutip mata dan memenangi set pertama.
Memasuki set kedua, Aaron-Wooi Yik kembali memperkemaskan permainan dan berjaya mendahului 11-8 sebelum dikejar Lane-Vendy yang enggan perlawanan itu diheret sehingga ke set penentuan.
Perlawanan semakin mendebarkan selepas kedua-dua beregu dipaksa bermain dalam penentuan ‘deuce’, namun tuah memihak Aaron-Wooi Yik apabila menang 27-25 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, perlawanan berlangsung dalam keadaan cukup seimbang apabila kedua-dua beregu saling bertukar servis, namun Lane-Vendy berada di kedudukan lebih selesa ketika mendahului 19-16.
Meskipun Aaron-Wooi Yik cuba mengejar dan merapatkan kedudukan, namun tuah tidak menyebelahi mereka apabila kejuaraan menjadi milik beregu lawan selepas tewas 17-21.
Selaku juara Lane-Vendy membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM137,418) berserta pingat manakala Aaron-Wooi Yik berpuas hati dengan AS$18,050 (RM76,261) dan juga pingat. – KOSMO! ONLINE