SHAH ALAM – Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) berdekatan Plaza Tol Bukit Raja di sini, yang menjadi ‘port’ lumba haram motosikal pada waktu malam digempur polis secara habis-habisan.
Dalam operasi bermula pukul 10 malam itu, beberapa penunggang sanggup nekad dengan menongkah arus bagi melarikan diri dan mengelak ditahan.
Selain itu, ratusan penunggang didapati tidak mempedulikan pengguna jalan raya lain apabila berkumpul di kawasan tol berkenaan sebelum operasi dijalankan.
Mereka antaranya melakukan aksi berbahaya termasuk meniarap di atas motosikal, menunggang secara ‘zig-zag’ dan menghalang laluan kenderaan lain.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, operasi bersepadu itu melibatkan seramai 112 pegawai dan anggota pelbagai agensi.
“Operasi itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan berkaitan aktiviti lumba haram dan aksi berbahaya secara berkumpulan di kawasan berkenaan.
“Bagi memastikan keselamatan pengguna, polis menutup kedua-dua arah laluan bagi mengepung penunggang motosikal berkenaan,” katanya yang mengetuai operasi itu sehingga awal pagi tadi.
Menurut beliau, sebanyak 420 motosikal diperiksa termasuk 58 yang disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE