DALAM dunia rekaan moden yang semakin dipacu oleh teknologi dan material baharu, masih ada segelintir penggiat seni memilih untuk berpaut pada akar tradisi.
Bagi tiga anak muda, Mohd. Mustafa Meharomi, Muhammad Khairul Syafiq Razali dan Muhammad Huzaifi Zainal Abidin, mereka memilih menghasilkan variasi produk cenderahati hasil pertukangan kayu.
Sejak sejak 2019, mereka banyak menghasilkan produk pertukangan kayu seperti kulit (muka depan) al-Quran, sarung telefon, kotak simpanan barang kemas, penyangkut baju, butang baju Melayu mahupun papan sambutan (welcome board) perkahwinan di bawah jenama Senitukang di Batu Caves, Selangor.
Menurut Mustafa, setiap karya yang dihasilkan bukan sekadar hiasan, sebaliknya lambang falsafah dan rasa hormat terhadap alam, hasil inspirasi daripada tukang kayu dari Jepun yang terkenal dengan ketelitian serta keharmonian dalam setiap karya.
“Mereka gemar menyusun ira kayu mengikut pertumbuhan pokok dengan bahagian pangkal diletakkan di bawah, manakala dahan di atas.
“Perkara ini nampak kecil, tetapi ia mencerminkan rasa hormat yang luar biasa terhadap alam. Kayu tidak diperlakukan sekadar bahan binaan, sebaliknya ia diraikan sebagai satu anugerah yang mesti dijaga.
“Daripada mereka kita boleh belajar bahawa pertukangan bukan hanya soal kemahiran, tetapi mengenai hati yang menuntut kesabaran, disiplin dan ketelitian.
“Harmoni yang tercipta daripada hasil kerja mereka dapat kami belajar dan amalkan dalam menghasilkan produk kayu,” katanya kepada CitaRasa.

Walaupun berusaha mengekalkan identiti, namun mereka tetap berani bereksperimen dengan sentuhan moden.
Mereka berani menggabungkan kayu bersama material seperti akrilik (bahan plastik lutsinar/polymethyl methacrylate).
Dua bahan dengan karakter yang sangat berbeza, namun apabila digabungkan menghasilkan rekaan unik dan segar, sekali gus sesuai dengan cita rasa masa kini.
“Senitukang cukup sinonim dengan identiti tradisional seperti penggunaan material kayu.
“Ia sama seperti yang kami belajar dalam bidang seni bina semasa di UIA (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan UiTM (Universiti Teknologi Mara) kerana melibatkan bangunan-bangunan kayu terutamanya masjid.
“Apa yang kami lakukan adalah menggabungkan penggunaan kayu dengan material moden seperti akrilik.
“Kami dapati produk dihasilkan diterima baik, walaupun ada elemen tradisional dan moden.
“Ini merupakan usaha kami untuk menarik minat masyarakat kepada produk kerja kayu,” katanya.
Meskipun berpengalaman dalam menghasilkan produk kayu, namun perjalanan menghasilkan sebuah karya tidak semudah digambarkan di fikiran.

Kongsi Mohd. Mustafa, salah satu cabaran terbesar mereka adalah menukar lakaran dari atas kertas ke bentuk sebenar dengan menggunakan mesin laser, selain perlu mengekalkan keseimbangan tona warna dan tekstur.
“Kami perlu fokus kepada keseimbangan rekaan kerana jika rekaan terlalu padat, ia akan mengurangkan permukaan kayu (tidak kelihatan kayu). Kalau kurang rekaan pula, ia akan menjadi bosan,” ujarnya.
Mengulas mengenai kreativiti, Senitukang tidak hanya menghasilkan sesuatu yang indah, sebaliknya mereka menitikberatkan keseimbangan antara seni dan fungsi.
Katanya, mereka percaya bahawa setiap produk harus mempunyai nilai guna yang jelas.
“Ia seiring dengan visi kami iaitu setiap rumah di Malaysia harus memiliki sekurang-kurangnya satu produk daripada Senitukang.” katanya sebelum menutup bicara.
















