SEBERANG PERAI – Sebuah kereta Toyota Vios milik mangsa ditemukan tidak jauh dari lokasi penemuan mayat lelaki itu di kawasan lapang, berdekatan flat Ampang Jajar, Butterworth di sini.
Kereta berwarna kelabu itu dijumpai di parkir di tepi jalan, kurang satu kilometer dari lokasi bagasi ditemui semalam.
Polis ketika ini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan kereta tersebut termasuk meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi berhampiran.
Terdahulu, polis mengesahkan kematian seorang lelaki tempatan yang ditemukan dalam sebuah bagasi dilaporkan akibat lemas (suffocation).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, ia berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik Hospital Pulau Pinang.
Sebelum itu, media melaporkan misteri penemuan mayat seorang lelaki yang disumbat dalam bagasi besar semalam kemungkinan ialah pemuda yang dilaporkan hilang, 8 Oktober lalu.
Identiti mangsa yang dikenali sebagai Lee Boon Han, 31, dimaklumkan selepas bapanya dilihat hadir ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, pagi tadi.
Semalam, mayat mangsa dilaporkan ditemukan dalam keadaan tangan diikat selain dikatakan terdapat kesan kelar pada leher, kira-kira pukul 1.43 tengah hari. -KOSMO! ONLINE














