RIYADH – Pengendali Indonesia, Patrick Kluivert masih belum mengibar bendera putih dalam misi lolos ke Piala Dunia 2026 walaupun tewas 2-3 kepada Arab Saudi dalam aksi pusingan kelayakan keempat di Stadium King Abdullah, awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Sang Garuda memberikan tentangan sengit kepada tuan rumah dengan Kevin Diks meledak jaringan berganda menerusi sepakan penalti tetapi masih belum cukup untuk meraih satu mata berharga.
Menurut Kluivert, prestasi yang dipamerkan oleh pasukan sepanjang 90 minit perlawanan cukup luar biasa dan bukan mudah untuk mengekang asakan negara yang menduduki ranking ke-59 dunia itu.
“Ini adalah detik yang mengecewakan kerana pemain saya berjuang seperti ‘singa’ dan saya sangat bangga dengan mereka. Apa yang pasti, jurang kualiti antara kedua-dua pasukan sangat kecil.
“Secara peribadi, saya lihat kita memulakan saingan dengan baik apabila berjaya mendahului 1-0. Kemudian, kami kehilangan momentum apabila tuan rumah mula memberikan tekanan sehingga penghujung saingan,” kata pengendali kelahiran Belanda itu.
Mengulas lanjut, Kluivert turut berharap pemain pertahanan kelab Lille, Calvin Verdonk dapat pulih sepenuhnya bagi perlawanan kelayakan terakhir menentang Iraq di venue yang sama, minggu depan.
“Verdonk tidak beraksi kali ini kerana dia masih belum cergas disebabkan kecederaan otot. Kita akan pantau situasinya dan harap dia pulih sebelum bertemu Iraq nanti,” katanya. – AGENSI