fbpx
Siti Nor Aisyah (dua dari kiri) dan tiga wakil syarikat pembinaan lain didenda keseluruhan RM40,000 atas kesalahan menggaji PATI di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Wanita, tiga syarikat pembinaan gaji PATI didenda keseluruhan RM40,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita dan tiga syarikat pembinaan didenda keseluruhan RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menggajikan dan membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) menetapkan di premis mereka pada dua bulan lalu.

Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman tersebut setelah Siti Nor Aisyah Ismail,24, dan tiga wakil syarikat iaitu Nadi Construction Sdn. Bhd., ASN Mall Enterprise dan Framepersecond Sdn. Bhd. membuat pengakuan bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Beliau memerintahkan Siti Nor Aisyah didenda RM15,000; Nadi Construction (RM10,000); ASN Mall (RM5,000) dan Framepersecond (RM10,000).

Siti Nor Aisyah didakwa membenarkan tiga warga Bangladesh yang melanggar syarat pas kerja untuk tinggal dan bekerja di sebuah kilang pembuatan bot di Kampung Pulau Serai, Dungun.

Perbuatan melibatkan tiga PATI terbabit yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun didakwa dilakukan pada pukul 11.55 pagi, 20 Ogos lalu.

Syarikat Nadi Construction pula didakwa menggaji dua pekerja warga Myanmar tanpa pas yang sah di tapak projek menaik taraf Kompleks Sukan Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun.

Perbuatan menggaji dua PATI berusia 20 dan 23 tahun yang bekerja sebagai tukang kayu dan pembancuh simen dengan upah RM60 sehari itu didakwa dilakukan pada pukul 4.10 petang, 10 Ogos lalu.

Syarikat ASN Mall pula didakwa membenarkan seorang warga Myanmar tanpa dokumen sah tinggal di tapak pembinaan miliknya di Kampung Gong Cengal, Kemasik, Kemaman pada pukul 2.30 petang, 20 Ogos lalu.

Syarikat Framepersecond didakwa membenarkan dua warga Bangladesh tanpa dokumen sah tinggal dan bekerja di tapak projek Pembangunan Fasa 2 Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Wilayah Pantai Timur di Kerteh, Kemaman pada 19 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI