fbpx
Nor Yahati (tengah) diringi Mohd. Hisham (kanan) semasa merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana di sebuah hotel di Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

Sistem numerikal kumpul maklumat awal bencana lebih tepat, pantas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Sistem ramalan cuaca numerikal yang akan beroperasi pada 2027 membantu pengumpulan maklumat sistem amaran awal bencana negara dengan lebih tepat dan pantas.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Nor Yahati Awang berkata, sistem superkomputer berkelajuan enam petaflops itu mampu membuat ramalan cuaca sehingga 14 hari berbanding sebelum ini iaitu hanya tujuh hari.

Menurutnya, sistem tersebut ditempatkan di Pusat Data Sektor Awam di Kulim, Kedah.

“Jarak pengiraan menerusi sistem itu dikecilkan kepada 300 meter berbanding 1 kilometer (km) di kawasan bandar utama sekali gus membolehkan maklumat yang diterima lebih mendalam.

“Bacaan baharu bagi 1 km dipecahkan kepada sembilan titik dengan dan kita dapat mengutip maklumat tepat menerusi sembilan bacaan berbeza,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip.

Nor Yahati memberitahu, sistem itu turut berasaskan teknologi pengkomputeran berprestasi tinggi yang disokong dengan kecerdasan buatan dan analitik data raya.

Menurutnya, sistem itu merupakan satu pencapaian besar dalam sejarah pembangunan teknologi ramalan negara yang mampu mempertingkat persediaan menghadapi risiko bencana demi melindungi nyawa dan harta benda rakyat.

Dalam perkembangan lain, Nor Yahati berkata, perubahan iklim bukan lagi isu masa depan kerana ia merupakan realiti yang sedang hadapi hari ini.

“Cuaca semakin sukar diramal malah kejadian cuaca ekstrem semakin kerap sekali gus memberi kesan kepada keselamatan rakyat kesejahteraan sosial dan ekonomi negara.

“Forum kali ini penting kerana ia berlangsung seiring dengan usaha negara memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI