MELAKA – Dalam usaha menggalakkan rakyat bercuti di dalam negara, kerajaan disaran memperkenalkan rebat cukai penginapan untuk setiap individu dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Chapter Khairulnizam Kasim berkata, cadangan rebat antara RM1,000 hingga RM1,500 dijangka dapat merancakkan pelancongan domestik serta memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha hotel yang masih berdepan cabaran pasca pandemik.
“Kami mencadangkan rebat cukai diberikan untuk tempahan hotel dalam negara. Langkah ini akan menyokong pengusaha hotel tempatan dan merangsang pelancongan domestik,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, pihaknya juga mencadangkan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyediakan program insentif hijau.
“Langkah ini wajar diberikan kepada hotel yang melaksanakan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta mengadaptasi inovasi hijau bagi mengurangkan jejak karbon.
“Hotel yang mencapai penanda aras kelestarian bukan sahaja mampu menjimatkan kos operasi malah turut mengangkat imej Malaysia sebagai destinasi
pelancongan mesra alam,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Negeri Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, kerajaan digesa meneliti aspek birokrasi agar peruntukan kepada pengusaha homestay dapat disalurkan terus kepada penerima.
Menurutnya, proses penyaluran bantuan dan geran masih terikat dengan syarat yang sukar dipenuhi oleh pengusaha homestay di kampung tradisional.
“Kadang-kadang bila nak buat jalan ke kawasan homestay, kena syarat mesti atas tanah kerajaan, sedangkan di kampung, mana ada tanah kerajaan, semuanya tanah milik persendirian,” katanya ketika ditemui di Alai di sini.
Beliau berkata, syarat tersebut menyebabkan pelaksanaan banyak projek kecil tidak dapat diteruskan walaupun kemudahan tersebut amat diperlukan bagi menambah baik akses dan prasarana pelancongan di kawasan luar bandar.
Sementara itu di Besut, pengusaha bot dan chalet, Abdul Aziz Che Abdullah, berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pembinaan stesen minyak bagi memacu industri pelancongan di Pulau Perhentian dalam Belanjawan 2026.
Menurutnya, ketiadaan stesen minyak menyukarkan pengusaha pelancongan mendapatkan bekalan petrol dan diesel yang merupakan keperluan dalam pengoperasian bot dan genarator.
“Stesen minyak di pulau ini telah ditutup lebih 10 tahun. Selama ini, kami terpaksa berulang alik sejauh kira-kira 50 kilometer setiap hari menerusi jalan laut untuk ke tanah besar (Kuala Besut) bagi mendapatkan bekalan petrol dan diesel.
“Kami bukan hanya menempuh perjalanan jauh malah dibebani kos RM150 setiap hari hanya untuk membeli bekalan minyak,” katanya.
















