SHAH ALAM – Hasrat seorang bapa lima anak untuk membawa keluarganya bercuti ke Pulau Pinang hanya tinggal kenangan apabila dia maut dalam kemalangan ngeri di Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22, di sini semalam.
Mangsa, Muhammad Hafiz Abdul Jamil, 39, yang juga anak sulung daripada 12 beradik, meninggal dunia di lokasi selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh tembok pembahagi jalan.
Empat ahli keluarga yang lain terutama isteri yang koma dan bayi perempuannya berusia 8 bulan yang retak tengkorak dan memerlukan bantuan pernafasan diibaratkan seperti bertarung nyawa ketika ini.
Mangsa turut mempunyai dua lagi anak masing-masing berusia 18 dan 19 tahun yang terselamat selepas tidak menaiki kenderaan itu.
Adik mangsa, Muhammad Muzamil, 30, berkata, abangnya kelihatan terlalu ceria kebelakangan ini malah sempat merancang untuk membawa keluarganya bercuti.
“Dia (Arwah Muhammad Hafiz) ada sebut baru-baru ini hendak bawa keluarganya ke Penang masa cuti sekolah akan datang. Nada dia masa tu gembira lain macam.
“Tak sangka itu kata-kata terakhir yang masih terngiang dalam ingatan ini dan petanda daripada arwah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bercerita lanjut, katanya, arwah disifatkan sebagai individu yang bertanggungjawab dan amat mementingkan keluarganya.
Jelasnya, arwah abangnya itu bekerja sebagai kontraktor sebuah syarikat telekomunikasi selain penghantar barang sambilan.
Sementara isterinya merupakan suri rumah.
“Arwah memang jenis bertanggungjawab, suka bawa keluarga ke mana-mana termasuk masa buat kerja penghantaran barangan.
“Dia mempunyai sifat prihatin dan sering menjadi tempat rujukan adik-beradik lain. Kalau jumpa kami berjumpa, mesti ada gurau senda darinya. Hilangnya sangat dirasai,” ujarnya sebak.
Jenazah Muhammad Hafiz dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Johan Setia, Klang petang ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kemalangan kira-kira pukul 2.30 petang semalam melibatkan lima sekeluarga itu berlaku apabila mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Klang dari daerah ini.
Kereta jenis Proton Saga yang dipandu Muhammad Hafiz terbabas dan terlanggar tembok pembahagi jalan sebelah kanan di Jalan Persiaran Tengku Ampuan hala Persiaran Kuala Selangor.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim memaklumkan berdasarkan status terkini kesihatan empat mangsa selama didapati tengkorak bayi perempuan itu retak dan memerlukan alat bantuan penafasan dengan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Ibunya pula berusia 38 tahun kini koma dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Shah Alam (HSA) selepas menjalani pembedahan limpa.
“Anak perempuannya berusia tujuh tahun pula mengalami kecederaan patah tulang kaki kanan dan akan menjalani pembedahan esok.
“Seorang lagi anak perempuannya berusia empat tahun cedera patah tulang paha dan kedua-dua mereka dirawat di hospital sama,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE