Adam dikenali dengan gaya penyampaian bersahaja dan penuh humor.

Hobi jadi kerjaya, Adam streamer menghiburkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik skrin komputer yang penuh dengan dunia maya Grand Theft Auto (GTA), nama Adam Hilman Alwi Yusni mula meniti di bibir komuniti peminat permainan video tempatan.

Berusia 28 tahun, anak muda ini bukan sekadar mengisi masa lapang dengan permainan digital, tetapi menjadikannya sebagai satu ruang untuk berkongsi kreativiti, membina komuniti dan mengekspresikan diri melalui penstriman langsung.

Bermula dengan minat biasa terhadap permainan video, jejaka kelahiran Seremban, Negeri Sembilan yang mesra disapa Adam itu kini berjaya membina kelompok penonton setia yang menantikan setiap siaran langsungnya.

Dengan gaya penyampaian yang bersahaja dan penuh humor, kehadirannya di platform penstriman menjadikan pengalaman menonton seakan-akan duduk bersama seorang teman rapat yang pandai bercerita.

Berkongsi dengan K-Remaja dalam satu temu bual di premis pakaian jenama tempatan, Adik Beradik KL baru-baru ini, Adam berkata, dia menyifatkan dirinya sebagai pendatang baharu dalam dunia permainan GTA yang mula dimainkan sejak September 2022.

“Sebelum ini, saya merupakan seorang pekerja swasta yang mempunyai hobi bermain game.

“Pada asalnya, saya cumalah side character bagi rakan-rakan lain dalam permainan GTA ini, namun akhirnya penonton nampak bagaimana karakter yang saya bina dalam permainan ini menyinar, sehingga saya membuat sesi penstriman langsung,” katanya membuka bicara.

Jelas Adam, tidak sukar baginya untuk mengubah daripada hanya bermain game di belakang skrin kepada seorang streamer yang bersiaran secara langsung untuk menghiburkan penonton.

Hal ini kerana ujar Adam, dia hanya menjadi diri sendiri dan seronok apabila diterima oleh mereka yang sukakan siaran langsungnya.

Adam juga bersyukur apabila dipertemukan dengan rakan-rakan streamer yang lain, yang disifatkan sebagai banyak membantu bukakan pintu rezeki buatnya sehingga ke hari ini.

Bagi Adam, duit dan populariti bukanlah menjadi pendorong utama dia memilih kerjaya sebagai streamer e-sukan.

GTA merupakan permainan yang membolehkan pemain menjelajah ‘bandar maya’ yang luas.

“Niat utama saya bergelar streamer adalah kerana saya mahu menghiburkan orang ramai,” katanya.

Berkongsi tentang cabaran bergelar streamer GTA, Adam berkata, umum mengetahui bahawa GTA merupakan permainan yang mana pemain boleh menjelajahi bandar maya yang luas, memandu kereta, berinteraksi dengan pelbagai watak dan menyelesaikan misi tertentu.

Bahkan, pemain juga diberikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja di dalam permainan, sama ada mengikut jalan cerita utama atau sekadar ‘meronda’ dalam dunia maya.

Bagi Adam, salah satu cabaran terbesar dalam dunia penstriman permainan adalah bagaimana untuk memastikan kandungan yang dibawakan sentiasa segar.

“Kalau kita bawa watak yang sama berulang kali, lama-lama penonton akan rasa jemu,” jelasnya.

Justeru, dia perlu sentiasa memikirkan cara baharu untuk menghidupkan watak tersebut, sama ada melalui jalan cerita, interaksi dengan pemain lain atau gaya penyampaian yang berbeza agar pengalaman menonton tidak pernah membosankan.

Akui Adam, buat masa ini, dia melihat dirinya akan kekal lama dalam bidang ini. Baginya, selagi dia masih mempunyai peminat dan kekal relevan, dia akan sentiasa cuba sehabis baik untuk menghiburkan penonton dan peminat sesi penstriman langsungnya.

Mengakhiri bicara, Adam menitipkan pesan buat anak muda atau sesiapa sahaja di luar sana yang mungkin mahu bergelar streamer bagi permainan video untuk sentiasa bijak menggunakan peluang yang ada untuk maju ke hadapan.

“Apa yang boleh saya katakan, saya bukan bermula dari bawah dan saya tidak akan sesekali claim atau mengaku bahawa saya merupakan seorang streamer self-made.

“Tanpa rakan-rakan streamer yang lain, tidak mungkin saya sampai ke tahap ini. Jadi, bagi saya, jika anda mahu menjadi streamer seperti saya dan nampak peluang itu, gunakan peluang yang ada sebaik mungkin, kerana ia mungkin tidak datang berulang kali.

“Selain itu, sentiasa jadi diri sendiri dengan tarikan sendiri dan cuba untuk tidak terikut-ikut dengan orang lain. Kalau boleh, biar orang atau peminat sukakan kita kerana diri kita sendiri dan bukan kerana perkara-perkara negatif seperti kontroversi atau sebagainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN