PUTRAJAYA- Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini pagi ini sempena lawatan rasmi tiga hari pemimpin itu ke Malaysia.
Ketibaan Muhammad Shehbaz pada pukul 10 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Beliau kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Muhammad Akmal Hakim Sabarudin
Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selain Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta barisan Menteri Kabinet lain.
Muhammad Shehbaz kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Menurut Kementerian Luar, lawatan ini adalah sebagai membalas lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024.
Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan mesyuarat bersama dengan menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama antara Malaysia–Pakistan.
Ia meliputi bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.
Kedua-dua Pemimpin juga bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Pada tahun 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Pakistan mencapai RM8.07 bilion
(AS$1.76 bilion), peningkatan sebanyak 25.5 peratus berbanding tahun 2023.
Barangan eksport utama Malaysia merangkumi minyak sawit, petroleum, dan produk kimia, manakala import dari Pakistan terdiri daripada hasil pertanian, tekstil, pakaian, kasut, dan produk petroleum.
Lawatan ini memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama dalam bidang
yang berkepentingan bersama, berasaskan hubungan kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1957, dan peningkatan hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik pada Mac 2019. – KOSMO! ONLINE