SERDANG – Terdapat tiga atau empat dron berlegar di atas kapal Conscience yang membawa aktivis dan sukarelawan misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG).
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, perkara itu disahkan oleh Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali dan kejadian itu pada malam Ahad.
“Setakat pukul 2.20 pagi (waktu Malaysia) tadi, jarak kapal Conscience ke Gaza kurang dari 250 batu nautika. Pihak MyCare menganggarkan mereka akan memasuki zon kuning kurang tempoh 24 jam.
“Kapal Conscience membawa lapan delegasi Malaysia mengatur strategi untuk memperlahan pelayaran untuk menunggu lapan kapal layar lagi, termasuk kapal Umm Saad turut membawa seorang delegasi Malaysia untuk bergabung menuju ke zon kuning,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, delegasi Malaysia di atas kapal Conscience juga membuat siaran langsung bersama pihak Hospital Al-Awda di Gaza dan hospital melaporkan situasi di klinik-klinik mereka sangat kekurangan peralatan dan bekalan perubatan.
“Mereka terpaksa menggunakan kaedah konvensional dalam merawat pesakit selain menggunakan kreativiti untuk ubah suai peralatan perubatan sedia ada.
“Di sini kita lihat organisasi antarabangsa perlu memberi tekanan dan desakan berterusan kepada Israel bagi menghentikan kekejaman dan jenayah genosid serta membolehkan kemasukan ubat-ubatan, bekalan peruabatn dan makanan ke hospital,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Dr. Fauziah Mohd. Hasan turut menitipkan pesan bahawa insiden yang berlaku semasa misi Global Sumud Flotilla tidak melunturkan semangat mereka.
Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.
Kapal terbesar Conscience melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.
Secara keseluruhan misi ini melibatkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia. – KOSMO! ONLINE