fbpx
Walaupun misi Sumud Flotilla gagal untuk menyampaikan bantuan, namun ia sebenarnya menjadi simbol solidariti antarabangsa.

Sumud Flotilla dihalang, rakyat Gaza terus berdoa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Misi kemanusiaan antarabangsa membabitkan 400 sukarelawan daripada 44 buah negara melalui pelayaran Sumud Flotilla untuk menyampaikan bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza nampaknya tidak kesampaian apabila pelayaran lebih 40 buah kapal dihalang tentera Israel sebelum sempat sampai ke perairan wilayah itu.

Walaupun misi yang bertujuan untuk memecahkan sekatan kejam dan keterlaluan yang dikenakan rejim Zionis ke atas penduduk Gaza itu kelihatannya menemui kegagalan, namun ia sebenarnya telah membuka mata dunia terhadap nasib penduduk Gaza yang kini hidup dalam kesengsaraan, penderitaan dan kelaparan.

Sejak tercetusnya konflik antara Hamas dan Israel pada 7 Oktober 2023, penderitaan rakyat Gaza semakin memuncak apabila dibantai secara berterusan oleh tentera Israel melalui serangan bertubi-tubi melalui udara dan darat.

Puluhan ribu nyawa dan paling menyedihkan ia turut melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak terkorban hampir setiap hari. Malah, hampir keseluruhan infrastruktur di Gaza musnah sama sekali.

Hospital lumpuh tanpa bekalan, sekolah dijadikan tempat perlindungan, dan seluruh sistem bekalan air dan elektrik terhenti sehingga menyebabkan kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza hidup tanpa arah dan sangat berharap kepada bantuan antarabangsa. Kini mereka berharap kepada kita. Mereka sedang kebuluran, terlantar sakit tanpa ubat, manakala tempat tinggal semua musnah.

Berita mengenai kehadiran misi Sumud Flotilla bagai memberi harapan dan ramai penduduk Gaza berhimpun di tepi-tepi pantai menanti bantuan yang tidak kunjung tiba itu.

Sekatan laut, darat dan udara yang dikenakan Israel telah menyukarkan segala bentuk bantuan untuk sampai kepada penduduk Gaza.

Walaupun misi Sumud Flotilla gagal untuk menyampaikan bantuan, namun ia sebenarnya menjadi simbol solidariti antarabangsa dengan mesej Gaza tidak bersendirian.

Kegagalan misi Sumud Flotilla itu sebenarnya memberi satu tamparan hebat kepada dunia terhadap nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

Bagi penduduk Gaza, penderitaan yang menyelubungi seakan menjadikan mereka lebih kuat dalam menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Mereka bagaikan tidak menunggu simpati semata-mata, malah menunjukkan keberanian yang luar biasa untuk terus bertahan dan membina kehidupan.

Anak-anak Gaza terus berdoa, ibu-ibu masih berharap, dan para petugas kesihatan tetap berjuang dengan sisa-sisa peralatan yang ada.

Harapan penduduk Gaza kini terletak pada tekanan berterusan dari masyarakat antarabangsa terhadap Israel agar membuka koridor kemanusiaan yang selamat, serta menghentikan sekatan yang dikenakan.

Dunia tidak boleh terus berdiam diri. Bantuan bukan lagi satu pilihan, tetapi tanggungjawab kemanusiaan yang wajib dilaksanakan. Dunia harus bersatu bukan sahaja untuk menghantar bantuan, tetapi juga untuk memastikan hak dan maruah penduduk Gaza dipulihkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN