JOHOR BAHRU – Tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada ketika ini, disifatkan sebagai taktik politik lapuk menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu dilihat sebagai strategi kedua-dua parti untuk bertanding atas lambang parti masing-masing bagi meraih sokongan pengundi.
Beliau menjangkakan kedua-dua parti itu kembali bekerjasama selepas pilihan raya bagi membentuk kerajaan negeri.
“Bacaan (jangkaan) saya, apabila STAR dan SAPP tinggalkan GRS, ini merupakan vertical taktik untuk mereka bertanding dengan lambang masing-masing.
“Dan nanti mereka akan bersama semula apabila mahu membentuk kerajaan negeri, tetapi saya mahu beritahu pengundi-pengundi bahawa taktik ini adalah taktik lama dan saya tak rasa pengundi di
Sabah akan bertindak pintar untuk menolak taktik yang dibuat parti politik itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Majlis Amanah Mara (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN Sabah, selaras dengan ketetapan parti.
“Sebagaimana ketetapan dibuat oleh UMNO dan BN, kita hanya menjalin kesepakatan dengan PH untuk menghadapi PRN Sabah.
“Perkembangan dalam parti-parti gabungan GRS adalah di luar daripada keputusan yang kita buat,” katanya.
Terdahulu, pada Khamis lalu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dilaporkan berkata, GRS mengesahkan keanggotaan STAR dan SAPP dalam gabungan itu tamat selepas kedua-duanya menyatakan keputusan untuk bertanding solo pada PRN-17.
Beliau turut berkata, hasrat itu disuarakan Presiden kedua-dua parti berkenaan pada Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dalam laporan berita menyatakan parti itu mungkin meninggalkan GRS kerana tidak setuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN-17. -KOSMO! ONLINE